Seminar Hartanah

Bisnes Import Dari China

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-Commerce
Selamat Datang Ke blog TeRsEbUt AL-KiSaH

Followers

Pages

Tuesday, October 30, 2012

Variasi 40 jenis kuih talam





MASIH kuat dalam ingatan Basharah Mustafa, 57, bagaimana dia begitu tekun menyiapkan tempahan kuih talam pelanggan sehingga pengsan akibat kepenatan. Jadual hariannya terlalu padat. Seawal pukul 4 pagi dia sudah sibuk di dapur menyiapkan tempahan yang akan diambil oleh pelanggan sebelum dia ke tempat kerja iaitu sekitar pukul 7 pagi.
Pulang ke rumah pada sebelah petang, dia masuk ke dapur lagi menyiapkan tempahan-tempahan lain yang tidak pernah surut.
"Kadang-kadang saya tidur pukul 2 pagi dan bangun semula pukul 4 pagi, sebab itulah sampai pernah pitam jadinya" kata Basharah menceritakan pengalamannya menjalankan bisnes kuih talam hampir sedekad lalu.
Sejak bersara sebagai pegawai bank setahun lalu, Basharah akhirnya dapat merehatkan badan dan mengehadkan tempahan pelanggan.
"Dahulu, walaupun mempunyai pekerjaan tetap saya buat juga kerja sambilan mengambil tempahan kuih talam kerana minat memasak dan ingin menambah pendapatan.
"Bila tiba bulan puasa, saya akan berniaga kuih talam di bazar Ramadan," katanya yang kini menetap di Kampung Tasik Tambahan, Ampang.
Begitupun, Basharah memberitahu, dia mengehadkan tempahan kepada 25 dulang sehari kerana sudah tidak bertenaga seperti masa muda-muda dahulu.
"Kadang-kadang bila banyak sangat tempahan, saya tidak larat menyiapkannya, jadi saya minta jiran-jiran ambil alih tempahan.
"Di sekitar kawasan perumahan ini, ada beberapa peniaga lain yang mengambil tempahan kuih talam, malah kami bertukar-tukar bahan-bahan mentah sekiranya kehabisan stok," katanya.
Menceritakan pembabitannya dalam bisnes kuih talam dari rumah, Basharah memberitahu, dia mengikuti kelas membuat kuih talam pada tahun 2001 dan turut mempelajari pelbagai resipi kuih talam moden.
"Zaman dahulu tidak banyak pilihan kuih talam tetapi kini terdapat lebih 40 jenis kuih talam yang boleh dipelajari. Antara jenis kuih talam moden hari ini ialah talam mentega kacang, talam cendol, talam skoteng dan talam Tokyo," katanya.
Menurut Basharah, kalau dahulu nenek dan ibunya tidak menggunakan sukatan tetap untuk membuat sedulang kuih talam, kini sukatan dalam gram menjadi elemen penting bagi memastikan rasa kuih talam tidak berubah dan sentiasa menjadi.
"Semua resipi ini mempunyai sukatan tetap. Saya pernah mencuba membuat kuih talam mengikut sukatan agak-agak tetapi ada yang menjadi dan ada yang kurang menjadi seperti terlebih keras atau terlalu lembut," katanya.
Basharah memberitahu, ketika mahu memulakan perniagaan tersebut, dia mengubah serba sedikit resipi yang dipelajari terutama kuantiti timbangan bahan-bahan masakan untuk disesuaikan dengan cita rasanya.
"Sebagai peniaga, kita mahu beri yang terbaik dan rasa yang paling enak. Tetapi sukatan tetap penting kerana kita tidak dapat merasa kuih yang dipesan pelanggan sebelum menyerahkannya.

BASHARAH menuang lapisan atas talam seri muka sebelum mengukusnya dengan api sederhana.


"Sekiranya pelanggan berpuas hati, mereka akan terus memesan kuih kita," katanya yang menerima kira-kira lima dulang kuih talam sehari pada hari-hari biasa dan boleh mencecah 25 dulang pada hujung minggu.
Keuntungan
Menurut Basharah, melalui kelas masakan juga dia mempelajari pelbagai resipi membuat kuih talam tradisional dan talam moden.
Dia juga memperoleh pendapatan lebih RM27,000 sepanjang tahun ini hanya dengan menjual kuih talam.
"Masih ramai pelanggan yang suka menempah kuih talam tradisional seperti talam seri muka, kole kacang, talam keladi dan talam gula merah tetapi tidak kurang juga pelanggan yang suka mencuba rasa kuih talam moden seperti talam berlauk, talam cendol, talam Tokyo dan talam serunding," katanya yang boleh dihubungi di talian 013-343 9180.
Sementara itu, pengusaha kuih talam dan kek, Lizzuin Latif, 32, turut mengikuti kelas masakan untuk mendalami resipi membuat kuih talam moden. Namun dia tetap menggunakan resipi neneknya untuk membuat kuih talam tradisional.
"Nenek saya mengajar saya cara-cara membuat kuih talam semasa saya masih bersekolah. Kuih talam yang siap dimasak bukan sahaja untuk hidangan keluarga tetapi turut dihantar ke surau berdekatan.
"Kuih talam tradisional yang saya pelajari daripada nenek memang berbeza dengan kuih talam moden kerana kuih talam dulu-dulu banyak menggunakan santan dan kurang tepung, tetapi kini sebaliknya," katanya yang menghidangkan kuih talam mentega kacang, talam seri muka durian dan talam jagung kepada penulis di rumahnya di Subang Bestari, Shah Alam.
Lizzuin memberitahu, kebanyakan tempahan kuih talam yang diterimanya ialah kuih talam mentega kacang, talam seri muka, talam Tokyo, talam kuih bakar, talam seri muka durian dan tepung pelita.
"Penggemar kuih talam masa kini gemar kuih talam tradisional dan suka mencuba kuih talam moden. Peniaga juga sebenarnya boleh mencuba pelbagai resipi kuih talam mengikut idea sendiri asalkan ramuan asas seperti kuantiti santan, gula dan tepung dikekalkan.
"Semua kuih talam moden hari ini adalah hasil kreativiti individu yang menciptanya, asalkan rasanya enak dan cantik apabila dipandang," kata Lizzuin yang turut menjalankan perniagaan kek cawan, kek untuk majlis-majlis dan kek kreatif dari rumah.

SEMUA maklumat tempahan dicatatkan Basharah supaya keuntungan bulanan dapat dikira.


Bercerita lanjut, Lizzuin memberitahu, walaupun menjalankan perniagaan dari rumah, pelanggannya bukanlah semata-mata rakan sekerja suaminya atau penduduk berdekatan.
"Dengan teknologi internet yang ada hari ini, kebanyakan pengusaha makanan dari rumah menggunakan kelebihan itu untuk memasarkan produk mereka.
"Saya juga menerima hampir kesemua tempahan melalui laman web hannanhomemadecake.com selepas dua tahun menjalankan perniagaan dari rumah," katanya.
Sementara itu, penulis buku masakan, Hasma Basir, 66, menjelaskan dahulu kuih talam dipanggil sebagai tepung talam. Pada masa itu, hanya terdapat dua jenis tepung talam sahaja iaitu tepung talam berbelang coklat putih dan tepung talam pandan berbelang hijau putih.
Tepung talam
"Tepung talam yang kini dipanggil sebagai kuih talam adalah resipi tradisi zaman berzaman, pada waktu dulu mereka yang mahir membuatnya mampu memperoleh pendapatan.
"Resipi ini bermula di Pulau Pinang tetapi kini tepung talam berkembang ke seluruh negara hasil migrasi dan perkongsian resipi," katanya ketika dihubungi.
Di Indonesia, tepung talam turut dihasilkan tetapi pada asalnya ia sedikit berbeza dengan tepung talam di Malaysia.
Tepung talam di Malaysia berbadan coklat dan kepalanya putih, tetapi di Indonesia pula terbalik kerana badannya putih dan kepalanya berwarna coklat.
"Tepung talam ini dihasilkan menggunakan dua jenis tepung sahaja iaitu tepung gandum atau tepung beras," katanya.
Hasmah memberitahu, talam seri muka yang dihasilkan hari ini juga boleh didapati di Sumatera, Indonesia dan Thailand.
"Di Sumatera ia dipanggil sebagai putri salat manakala di Thailand kepala seri muka dipanggil sebagai sangkaya.
"Jadi tidak dapat dipastikan dari mana resipi ini bermula terlebih dahulu kerana mungkin resipi ini dibawa oleh nenek moyang kita yang datang daripada rumpun yang sama," katanya.
Tambahnya, di Afrika Selatan juga terdapat banyak masakan Melayu termasuk kuih talam bingka.
"Di sana juga terdapat masakan yang dibuat menggunakan daun pandan seperti di Malaysia. Bagi saya, resipi tradisional berkembang kerana migrasi manusia dari satu negara ke negara lain," katanya.

Umpama hukuman mati


UNICEF melaporkan masalah malnutrisi di Guatemala adalah yang paling teruk berbanding Afrika.

GUATEMALA mempunyai kadar malnutrisi tertinggi di Latin Amerika.


SEBUAH ambulans berhenti di bahu jalan. Jalan yang berliku-liku itu menghala ke sebuah perkampungan terpencil di Guatemala, Shumpa. Misi sekumpulan pakar perubatan profesional itu adalah untuk menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang sedang mengalami masalah malnutrisi.
Celi Aldana hanyalah salah seorang daripada separuh populasi kanak-kanak Guatemala berusia kurang lima tahun dan menderita masalah malnutrisi kronik. Malnutrisi kronik boleh membahayakan perkembangan mental dan fizikal seorang kanak-kanak. Ini sekali gus memberi ancaman besar kepada masa hadapan sesebuah negara.
Ambulans tersebut disumbangkan oleh negara Jepun untuk memudahkan kerja-kerja memindahkan pesakit di perkampungan terpencil itu.



Seorang penduduk kampung, Maria Santos yang merupakan pekerja sosial terlatih untuk Pejabat Wanita Nasional di Camotan juga mengenali Celi. Celi merupakan salah seorang daripada 11 anak Cornelia gutierrez, 42, yang menunjukkan simptom-simptom malnutrisi.
Celi yang kelihatan penat dan abangnya, Bibiano, tiga tahun, dilihat bermain riang dengan sekumpulan haiwan ternakan.

KESAN malnutrisi terhadap tumbesaran seseorang kanak-kanak seakan satu hukuman mati.


Dua ekor lembu, beberapa ekor ayam dan anjing kurus kering menjadi peneman kanak-kanak yang sedang bergelut dengan masalah malnutrisi ini.
Di dalam rumah tanpa bekalan elektrik, si ibu sedang menjaga anak bongsunya yang hanya berusia beberapa hari. Cornelia jelas bimbang akan keadaan Celi yang dikatakan baru kali pertama berdepan dengan situasi seperti ini.
“Celi telah sakit sejak tiga bulan lepas. Kali terakhir saya membawanya ke klinik di Camotan, doktor hanya memberitahu, oleh kerana kami mempunyai terlalu ramai anak, maka kesemuanya mengalami masalah malnutrisi,” jelasnya.
Santos kemudiannya menggesa Cornelia agar membenarkan anaknya dibawa ke pusat pemulihan nutrisi di Jocotan, sebuah pekan berdekatan dengan Camotan.

BETAPA berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.


Namun, Cornelia mengambil masa yang lama untuk ‘meluluskan’ permintaan itu. Semuanya gara-gara keputusan yang perlu dibuat oleh si suami dan bukannya isteri.
Seorang doktor yang ditempatkan di pusat pemulihan nutrisi itu, Juan Manuel Mejia berkata, situasi Cornelia sesungguhnya bukan sesuatu yang luar biasa.
“Kebanyakan ibu di sini sukar meninggalkan keluarga, suami, rumah mahupun anak-anak yang lain demi menemani seorang anak yang telah kesakitan ke pusat kesihatan.
“Lagipun, kesan egoistik kaum lelaki tidak membenarkan wanita membuat keputusan mereka sendiri. Begitu juga dalam kes Cornelia,” katanya.

KEMARAU, kualiti tanah dan kadar pendapatan petani menentukan lagi masalah malnutrisi di Guatemala.


Malah, kesan macho turut jelas kelihatan sewaktu hidangan disajikan.
“Mula-mula, yang bergelar bapa akan dihidangkan dengan makanan sebaik sahaja balik dari tempat kerja, kemudian diikuti oleh anak lelaki dan akhirnya anak perempuan serta ibu akan duduk menjamu selera,” jelasnya.
Menurut tabung kebajikan kanak-kanak, UNICEF, Guatemala mempunyai kadar malnutrisi tertinggi di Amerika Latin. Dalam konteks dunia pula, Guatemala menduduki tempat keenam dari aspek malnutrisi kronik. Lebih daripada sejuta kanak-kanak berusia di bawah lima tahun yang menderita masalah malnutrisi kronik.
Di Chiquimula misalnya, kes malnutrisinya mencetuskan tajuk-tajuk utama dalam akhbar antarabangsa pada tahun 2002. Semuanya berlaku akibat kekurangan makanan yang menerukkan lagi keadaan sedia ada. Di perkampungan yang terletak berdekatan Camotan dan Jocotan, hampir 25 peratus daripada kanak-kanaknya mengalami malnutrisi.
Faktor penyumbang kepada masalah ini adalah berbeza-beza. Kemarau, kualiti tanah dan kadar pendapatan petani yang teruk turut menjurus kepada masalah kemarau.
Masalah kemarau yang melanda bahagian timur Guatemala dan kejatuhan produksi kopi telah mengakibatkan hampir 190,000 penduduknya menganggur sekitar tahun 2000 dan 2001.

KESAN malnutrisi terhadap tumbesaran seseorang kanak-kanak seakan satu hukuman mati.


Krisis tersebut memburukkan lagi masalah malnutrisi. Menurut Organisasi Pertanian dan Makanan (FAO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 22 peratus daripada populasi Guatemala tidak memperoleh nutrien yang mencukupi.
Keadaannya lebih teruk di kalangan masyarakat pribumi. Sebanyak 70 peratus kanak-kanak pribumi menderita masalah malnutrisi.
UNICEF melaporkan masalah malnutrisi di Guatemala adalah yang paling teruk berbanding Afrika yang hanya mencatatkan purata 35.2 peratus populasi yang dilanda malnutrisi.
Wakil UNICEF di Guatemala, Manuel Manrique berkata, kesan malnutrisi terhadap tumbesaran seseorang kanak-kanak seakan satu ‘hukuman mati’.
“Ini kerana malnutrisi boleh menjejaskan kesihatan, tumbesaran serta keupayaan mereka untuk belajar,” katanya.
Biar pun lebih daripada 60 peratus keluarga di Guatemala gagal memperoleh diet yang sepatutnya, penduduk kawasan terpencil masih mengalami kesukaran mendapatkan khidmat kesihatan, bekalan air bersih dan pendidikan sewajarnya. – AFP

Mati kerana penyakit jantung


Tidak ramai yang sedar bahawa diabetis mellitus boleh menjurus kepada penyakit jantung terutamanya penyakit jantung koronari.

PENGHIDAP diabetes mempunyai tiga kali ganda risiko untuk mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang sihat.


JIKA kita bertanya saudara-mara mahupun sahabat handai, bukanlah menghairankan pada hari ini kita akan berdepan dengan sekurang-kurang dua atau tiga orang yang menghidap penyakit diabetis mellitus. Malahan mungkin anda adalah seorang pesakit diabetis mellitus.
Berdasarkan bancian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2006 yang melibatkan hampir 40,000 penduduk di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, hampir 15 peratus orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetis mellitus.
Ini merupakan satu peningkatan yang mendadak berbanding dengan bancian yang sama 10 tahun yang lalu (1996) dimana hanya 8.3 peratus sahaja yang menghidap diabetis mellitus.
Maknanya, setiap seorang daripada tujuh orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetis. Yang lebih merisaukan ialah hampir separuh daripada jumlah tersebut tidak sedar yang mereka mempunyai penyakit diabetis.
Peningkatan yang tinggi ini disebabkan oleh beberapa faktor yang ketara. Antaranya termasuk penambahan kalori akibat makan berlebihan dan pengurangan aktiviti fizikal.
Bancian yang sama juga mendapati hampir 44 peratus penduduk dewasa negara ini mempunyai masalah berat badan yang berlebihan dan obesiti. Semestinya berat badan yang berlebihan menjurus kepada pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit diabetis mellitus.
Kaitan antara diabetis melitus dan penyakit jantung
Penyakit diabetis sering dikaitkan dengan masalah jangkitan kuman hingga mengakibatkan kaki seseorang itu dipotong. Tidak ramai yang sedar bahawa diabetis mellitus boleh menjurus kepada penyakit jantung terutamanya penyakit jantung koronari.
Penyakit jantung koronari merupakan penyebab utama kematian di Malaysia, terutamanya di kalangan penduduk pertengahan umur dan warga tua.
Terdapat banyak sebab kenapa pesakit diabetis mudah mendapat penyakit jantung. Yang paling utama ialah ketinggian paras gula dalam darah.
Kebanyakan pesakit diabetis juga mengalami risiko penyakit jantung yang lain seperti tekanan darah tinggi, kolesterol yang tinggi serta berat badan yang berlebihan.
Secara kasar seseorang pesakit diabetis mempunyai tiga kali ganda risiko untuk mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang sihat. Jika pesakit diabetis mendapat penyakit jantung, risiko untuk berdepan dengan komplikasi serta meninggal dunia akibat penyakit jantung juga adalah dua kali ganda lebih tinggi.
Berdasarkan satu kajian terperinci, dua pertiga daripada pesakit diabetis akan meninggal dunia akibat penyakit jantung. Ini merupakan satu jumlah yang sangat tinggi berbanding dengan kelompok penyakit yang lain.

PARAS gula yang tinggi merosakkan fungsi saluran darah dan jantung.


Mengapa penyakit jantung amat bahaya kepada pesakit diabetis?
*Kajian perubatan mendapati penyakit jantung yang dihadapi oleh pesakit diabetis adalah jauh lebih serius daripada mereka yang sihat.
*Lebih banyak saluran darah di jantung yang tersumbat dan bahagian yang tersumbat juga adalah lebih menular. Selain itu, kandungan kalsium yang tinggi dalam bahagian yang tersumbat ini menyulitkan sebarang usaha untuk membuka kembali bahagian saluran darah yang tersumbat itu.
*Ketinggian paras gula dalam darah pesakit diabetis ini melambatkan proses penyembuhan penyakit jantung koronari. Ia juga merosakkan fungsi saluran darah dalam badan serta fungsi jantung sebagai sebuah pam.
*Di samping itu seseorang yang mengalami diabetis juga mudah mendapat serangan jangkitan kuman yang merumitkan lagi penyembuhan penyakit jantung yang sedia ada.
*Salah satu komplikasi diabetis akibat daripada tahap gula yang tinggi ialah kerosakan urat saraf di dalam badan. Apabila urat saraf seseorang itu rosak akibat diabetis maka isyarat yang membawa rasa sakit itu tidak sampai kepada tubuh badan pesakit tersebut.
Maka seseorang pesakit diabetis yang sedang mengalami serangan jantung koronari akan berterusan dengan kerjanya tanpa menerima sebarang isyarat kesakitan daripada jantung yang sedang sakit itu. Ini bererti seseorang pesakit diabetis boleh mengalami penyakit jantung tanpa menyedarinya.
Pencegahan daripada penyakit jantung
*Amat penting bagi seseorang pesakit diabetis untuk mengawal paras gula dengan segera. Ia perlu diturunkan ke tahap yang boleh mengurangkan risiko sakit jantung dengan menjaga pemakanan, melakukan aktiviti fizikal dan mengambil ubat-ubatan yang disyorkan oleh doktor.
*Selain pengawalan paras gula, risiko-risiko penyakit jantung yang lain seperti kolesterol, tekanan darah serta berat badan yang berlebihan juga perlu dikawal.
*Oleh kerana penyakit jantung yang dialami oleh pesakit diabetis adalah jauh lebih serius maka kawalan darah tinggi dan kolesterol mereka juga adalah lebih ketat.
*Sebarang simptom yang timbul apabila pesakit diabetis melakukan aktiviti fizikal seperti menaiki tangga dan mengangkat barang berat perlulah diberi perhatian yang serius.
*Simptom-simptom seperti sakit dada, sesak nafas dan terasa amat letih mungkin merupakan tanda-tanda awal penyakit jantung.
Kesimpulan
Diabetis mellitus yang meningkat di negara kita membawa kepada penyakit jantung yang lebih serius dan merupakan punca utama kematian pesakit diabetis. Maka amat penting bagi pesakit diabetis untuk mengawal tahap kandungan gula, kolesterol dan tekanan darah agar mereka dijauhi dari penyakit jantung yang serius ini.

Monday, October 22, 2012

Kegilaan memburu badak sumbu




PERMINTAAN terhadap sumbu yang tinggi di pasaran gelap mendorong aktiviti pemburuan haram.


BAGI menangani kegiatan pemburuan badak sumbu secara haram yang kian meningkat di rantau Asia, kerajaan Afrika Selatan menubuhkan satu unit pembanteras jenayah hidupan liar khas.
Kegiatan memburu badak itu berpunca daripada permintaan yang tinggi bagi mendapatkan sumbunya atas tujuan perubatan tradisional.
Di Afrika Selatan, kegiatan memburu badak sumbu telah berganda pada tahun ini. Setakat ini, sebanyak 227 kes pembunuhan binatang itu telah dilaporkan berbanding hanya sejumlah 122 kes pada tahun lepas.
Masalah yang tiada kesudahan itu membuatkan Menteri Alam Sekitar, Buyelwa Sonjica mempengerusikan satu persidangan badak sumbu di sini baru-baru ini.
Dalam persidangan yang berlangsung selama dua hari itu, pakar-pakar hidupan liar dan wakil-wakil polis hadir untuk bersama-sama melancarkan unit pembanteras jenayah pemburuan badak secara haram.
Bertindak segera
“Unit Penyiasatan Jenayah Hidupan Liar Kebangsaan akan bertindak segera apabila berlakunya jenayah serius yang melibatkan hidupan liar. Unit ini berupaya mengesan dan menyiasat kegiatan penyeludupan mahupun produk-produk yang dihasilkan daripada hidupan-hidupan liar,” katanya.
Menurut Sonjica, bilangan badak sumbu yang terkorban dalam pemburuan haram itu sepatutnya menjadi berita yang mengejutkan semua orang. Hakikatnya, perdagangan sumbu telah diharamkan di peringkat antarabangsa tetapi permintaannya di pasaran gelap terus meningkat. Permintaan itulah yang mengundang pemburuan berteknologi tinggi seperti damak oleh penembak handalan yang menaiki helikopter.
Pihak polis berkata, dalam keadaan badak yang tidak sedar, sumbunya akan dikerat oleh golongan tidak bertanggungjawab itu. Binatang malang itu kemudiannya dibiarkan mati.
Bimbang dengan peningkatan bilangan kematian badak sumbu, kerajaan Afrika Selatan melancarkan usaha menangkap sejumlah orang atas tuduhan memburu secara haram. Kebanyakan suspek yang diberkas ialah warga Vietnam.

SUSPEK pemburuan haram badak sumbu ini sedang dibicarakan di Mahkamah Musino, Afrika Selatan.


Sumbu badak dianggap berharga kerana banyak digunakan di negara-negara Asia terutamanya Asia Tenggara untuk tujuan perubatan selain dijadikan barang perhiasan. Masyarakat Asia juga mempercayai khasiatnya untuk merawat demam panas dan tekanan darah tinggi.
Lonjakan ekonomi Asia Timur meningkatkan permintaan terhadap sumbu badak. Malah, sesetengah pelanggan sanggup membayar sehingga AS$2,500 (RM8,000) hanya untuk sebatang sumbu yang boleh mencecah berat 11 kilogram.
Menurut badan pemantauan hidupan liar, Traffic, permintaan yang meningkat dan ketandusan endemik dalam habitat kebanyakan badak menaikkan kadar pemburuan haram tersebut kepada paras tertinggi sejak tempoh 15 tahun lalu.
Dibicarakan
Setakat ini, terdapat 26 kes pemburuan haram badak sumbu sedang menunggu untuk dibicarakan di mahkamah. Sebahagian besar daripada 80 orang tertuduh yang diberkas adalah warga Vietnam.
Salah satu kes berprofil tinggi juga melibatkan dua orang doktor haiwan, seorang pemilik ladang dan juruterbang. Mereka merupakan antara 11 orang suspek yang diberkas pada bulan lepas atas tuduhan mengusahakan sebuah kawasan pemburuan haram berdekatan Taman Negara Kruger yang terkemuka di dunia.
Berdasarkan kenyataan pihak berkuasa hidupan liar, seramai lima orang suspek lagi diberkas berhubung pembunuhan sekurang-kurangnya lima ekor badak sumbu di wilayah KwaZulu-Natal.
“Kita berdepan dengan satu masalah yang sangat besar. Tetapi, saya rasa masalah ini boleh diselesaikan,” kata Sonjica.
Tambahnya, kerajaan Afrika Selatan merancang untuk mengadakan satu pertemuan dua hala dengan kerajaan Vietnam bagi membincangkan tentang isu pemburuan haram.
Langkah untuk memelihara spesies badak sumbu Afrika Selatan daripada kepupusan sedikit sebanyak telah membuahkan hasil. Setakat ini, bilangan badak sum

Las Vegas Asia Barat



Anda tidak perlu berbelanja besar untuk berparti sehingga larut malam di Beirut, Lebanon.

BEIRUT umpama kota perjudian di Las Vegas.


JIKA Las Vegas di Amerika Syarikat (AS) terkenal sebagai sebuah kota perjudian dunia dengan jolokan The Sin City, di Lebanon pula, gelaran itu dipegang oleh sebuah bandar raya yang penuh dengan sejarah purba dan peperangan iaitu Beirut.
Pantai-pantai bogel, pusat perjudian, kelab-kelab homoseksual serta kelab-kelab kabaret dan kasino bakal memberi satu pengalaman percutian ala Barat kepada pengunjung.
Di Beirut, anda tidak perlu berbelanja besar sehingga AS$1,000 (RM3,382) untuk berparti sehingga larut malam. Dengan bajet yang rendah, anda boleh menikmati pertunjukan bunga api yang menjadi salah satu hiburan lewat malam di bandar raya itu.
Lebanon adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian sejarah purba yang memiliki pengaruh Empayar Rom dan penjajahan Perancis. Negara itu telah melalui banyak ranjau sejarah yang berdarah.
Antaranya Perang Saudara dari tahun 1975 sehingga 1990, rampasan kuasa oleh pihak tentera, pembunuhan terancang berprofil tinggi serta kekalutan politik yang tiada penghujungnya.
Empat tahun lalu, Hotel Riviera yang terletak di kawasan pantai Beirut menjadi saksi kepada satu percubaan pembunuhan terancang terhadap pemimpin pergerakan antikerajaan Syria.
Kawasan itu kini terkenal di kalangan pelancong asing kerana ia merupakan antara kawasan kelab-kelab malam yang setanding dengan kelab-kelab malam di Jalan P.Ramlee, Kuala Lumpur.
"Di Kaherah, kami mempunyai kelab malam, tetapi tiada yang dapat menandingi suasana kelab malam di sini. Ia memang menyeronokkan," kata seorang pengunjung bernama Wafiq semasa ditemu bual sambil menghirup cerut Cuba dan memegang segelas minuman keras.
Sementara itu, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan negara tersebut menunjukkan kira-kira sejuta pelancong datang ke Lebonan pada bulan Julai tahun ini sahaja dan angka itu dijangka meningkat sehingga dua juta pengunjung pada akhir tahun 2009.
Para ekspatriat di Lebanon merupakan kumpulan pelancong terbesar di Beirut, tidak kurang juga pelancong dari negara Arab yang gemar berhibur dalam suasana malam di Beirut.
Satu masa dahulu, ketika Lebanon sering berdepan dengan situasi perang saudara, kejadian rusuhan berdarah oleh penduduk tempatan pada Mei 2008 telah mengorbankan lebih 100 nyawa.
Sami, 30, seorang pelancong dari Jerman yang berkunjung ke Beirut berkata, beliau tidak menyangka percutiannya di situ lebih memenatkan daripada apa yang dijangka.
Beliau yang sedang menyapu losen anticahaya ultra lembayung (UV) ditemui menggambarkan bagaimana dia 'tawar-menawar' dengan salah seorang penjaga kelab untuk memasuki kelab malam yang paling popular, Sky Bar sebelum berehat di kawasan rehat 24 jam untuk menikmati juadah sarapan seawal pukul 3 pagi dan seterusnya berhibur di pantai beberapa jam kemudian.
"Saya hanya tidur selama tiga jam," ujar Sami kepada AFP.

PELANCONG asing berhibur sampai pagi adalah pemandangan biasa di Beirut.


Beliau menambah: "Saya sempat menghirup seteguk kopi sebelum kawan-kawan menarik saya untuk berparti di kawasan pantai. Mereka membuang kopi saya dan menggantikannya dengan segelas minuman keras Vodka.
"Percutian saya di Beirut umpama memerah tenaga untuk berlari sejauh 10 kilometer dalam masa 30 minit."
Sementara itu, teman wanita Sami, Yasmine, 24, berkata, Beirut adalah sebuah bandar raya yang sangat hebat.
"Macam-macam ada di sini. Anda namakan sahaja, semuanya tersedia dengan satu petikan jari sahaja! Ia seperti sebuah kawasan hiburan tanpa henti," katanya.
Di Beirut, harga sebotol minuman keras Champagne adalah di antara AS$200 (RM676) dan kadangkala boleh mencecah sehingga AS$15,000 (RM50,737).
Bagaimanapun, di kelab-kelab malam eksklusif dan mewah seperti Palais Cyrstal, bersempena nama sebuah kelab Palais yang popular di Cannes, Perancis, sebarang harga untuk sebotol Champagne yang dibelanjakan adalah sangat berbaloi.
Walaupun Yasmine dan Sami mewakili mereka yang menggemari kehidupan yang bebas dan suka kepada hiburan tanpa henti, terdapat segelintir pelancong yang melawat Beirut merungut terhadap suasana hiruk-pikuk dan budaya di situ.
"Saya akui memang berbaloi berbelanja wang yang besar untuk berhibur di Beirut, menikmati pemandangan yang indah dan alunan muzik yang mengasyikkan. Tetapi, saya hairan melihat 'kesibukannya'.
"Kami terpaksa membuat tempahan beberapa bulan sebelum sampai ke sini. Ia sesuatu yang amat menghairankan kerana kami pernah mengunjungi tempat tersebut," ujar Rana, 38.
"Kadangkala ia seperti satu perkara yang salah sehinggakan kami digelar orang yang berdosa jika tidak melawat dan berhibur di tempat-tempat eksotik di Beirut," tambahnya yang bekerja sebagai broker saham di Beirut.
Beliau juga sempat menggambarkan kejadian Perang 34 hari antara Hezbollah dan Israel pada tahun 2006.
Menurutnya, ketika itu penganjuran parti-parti masih diteruskan.
"Para penganjur hanya perlu menukar lokasi yang lebih selamat dan kebanyakan mereka berparti di kawasan tanah tinggi yang majoritinya didiami oleh komuniti beragama Kristian seperti Faray dan Brummana," ujarnya.
Rana turut berkata, suasana berparti masih lagi hangat, cuma ia kini lebih selamat daripada ancaman perang.
Walaupun apa pun gelaran yang diberikan kepada Beirut, para penduduknya percaya bahawa badi perang dan kancah politik sudah pun tamat.
Namun begitu bagi Ziad, 25, seorang jurutera yang bekerja di Qatar, 'musim panas' pada tahun ini hanya sementara sahaja.
"Saya berpendapat 'mereka' mahu kita berseronok sepuas-puasnya sebelum episod baru bermula," ujar beliau.
'Mereka' sebenarnya merujuk kepada parti-parti politik yang berlumba untuk memerintah Lebanon. - AFP

Dapatkan segera!!!

Preview Video Borong Murah di CHINA!

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-commerce