Seminar Hartanah

Bisnes Import Dari China

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-Commerce
Selamat Datang Ke blog TeRsEbUt AL-KiSaH

Followers

Pages

Friday, November 23, 2012

Piala AFF Suzuki 2012: Medan padam luka silam




PERTEMUAN dengan Singapura pada aksi pertama saingan peringkat Kumpulan B Piala Suzuki AFF Ahad ini dianggap medan terbaik untuk tonggak pertahanan Harimau Malaya, Mohd Fadhli Shas memadam memori luka tahun lalu.
Sesungguhnya kekalahan kepada musuh tradisi itu pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 masih segar di ingatan Fadhli yang bertekad menebus kesilapan itu.

Pada pusingan kelayakan itu, Malaysia tewas 3-5 kepada Singapura pada perlawanan pertama di gelanggang lawan dan gagal mencipta kebangkitan apabila sekadar seri 1-1 di depan lebih 100,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Keputusan itu menyekat hajat skuad kendalian Datuk K Rajagobal meneruskan kemaraan ke peringkat kumpulan dengan membenarkan Singapura yang dibimbing Radojko Avramovich meraikan kejayaan agregat 6-4.

Kegagalan itu agak pahit ditelan ketika penyokong tempatan mengharapkan satu lagi peningkatan dipamer Harimau Malaya selepas gah menjulang Piala Suzuki AFF pada 2010.

“Memang sukar menerima kekalahan pusingan kelayakan itu, ia memang mengecewakan. Tapi bagi saya kekecewaan itu akan membangkitkan semangat kami.
“Perlawanan menentang Singapura dalam Piala AFF ini peluang untuk kami membalas dendam. Tapi kami perlu hati-hati kerana tidak mahu kesilapan sama berulang,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Fadhli membentuk gandingan mantap di bahagian pertahanan tengah bersama Mohd Muslim Ahmad ketika Malaysia menjulang Piala AFF dua tahun lalu namun gandingan itu gagal meneruskan prestasi terbaik ketika tewas kepada Singapura di pusingan kelayakan Piala Dunia.
Kali ini, tiada lagi kelibat Muslim bersama pasukan dan Fadhli pemain Harimau Muda A yang beraksi dalam Liga Singapura dijangka akan diturunkan bersama Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak pada kempen Piala AFF kali ini.

Gandingan Fadhli dan Aidil tampak menjadi ketika Malaysia menewaskan Singapura 2-0 pada pertemuan terakhir aksi persahabatan di Stadium Shah Alam Jun lalu.

Piala AFF Suzuki 2012: Arthur ‘senjata sulit’ Garuda




KEKUATAN sebenar Indonesia masih menjadi tanda tanya apabila pencabar Kumpulan B itu hadir di Kuala Lumpur dengan masalah yang membayangi kancah bola sepak tempatan di republik itu belum mencapai jalan penyelesaian.
Selain memiliki beberapa tonggak berpengalaman seperti Bambang Pamungkas dan pemain naturalisasi Belanda, skuad kendalian Nil Maizar turut dilihat mempunyai ‘senjata rahsia’ yang mampu melonjakkan aksi Garuda melepasi saingan peringkat kumpulan.

Antaranya, kehadiran beberapa pemain muda berpotensi besar seperti Andik Vermansyah yang dilabel ‘Messi Indonesia’ kerana kelincahan dan kemampuannya menggelecek di bahagian sayap selain seorang lagi pemain yang perlu diawasi, Arthur Irawan yang kini beraksi untuk kelab Espanyol B di Sepanyol.
Bagi Arthur, peluang dan kepercayaan yang diberikan Nil untuk menyertai skuad Merah Putih sememangnya dinantikan walaupun menjadi pemain paling muda apabila hanya berusia 19 tahun.

“Saya memang bercita-cita untuk beraksi bersama skuad negara. Saya harap mampu memberikan aksi terbaik pada kejohanan ini,” katanya yang mampu beraksi pada posisi pertahanan kanan dan pemain tengah.

Katanya, motivasi utamanya pada Piala Suzuki AFF 2012 adalah untuk mempertahankan maruah Indonesia yang masih tercari-cari kejuaraan sulung kejohanan dwitahunan ini.
Walaupun tampil dalam empat final, Indonesia belum berjaya bergelar juara dan episod duka itu berterusan apabila kecundang kepada Malaysia dua tahun lalu.

Piala AFF Suzuki 2012: Avramovic puji Harimau Malaya



SAMA ada mahu bermain psikologi terhadap prestasi semasa Malaysia menjelang pertemuan Ahad ini atau sebaliknya, pengendali Singapura, Radojko Avramovic menghamburkan kata-kata pujian terhadap Harimau Malaya dengan menyifatkan skuad negara sebagai pasukan yang baik dan mampu bangkit apabila Piala Suzuki AFF membuka tirai.
Bagi jurulatih berusia 62 tahun itu yang mula membimbing Singapura pada 2003, Malaysia mempunyai kualiti mencukupi untuk berusaha melaksana misi mempertahankan piala rebutan lapan pasukan rantau Asia Tenggara itu.

Singapura yang juga juara tiga kali Piala Suzuki AFF tiba di Kuala Lumpur semalam dan Harimau Malaya dijadual menjadi lawan pertama skuad Singa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini selepas perlawanan pembukaan Kumpulan B antara Indonesia menentang Laos.
“Saya percaya mereka akan bangkit. Masing-masing amat mengenali satu sama lain dan kami tidak boleh memandang rendah lawan hanya berdasarkan keputusan perlawanan persahabatan mereka,” katanya yang membawa Singapura muncul juara edisi 2004 dan 2007.

Pada edisi kali ini, Singapura tampil dengan barisan pemain yang dianggotai 12 pemain LionsXII, kelab yang beraksi di Liga Malaysia musim lalu selain baki 10 pemain beraksi dalam liga domestik republik itu dan paling mengejutkan keputusan Avramovic yang hanya menyenaraikan lima pemain pertahanan iaitu Baihakki Khaizan, Daniel Bennett, Shaiful Esah, Irwan Shah dan Safuwan Baharudin. “Ia bukan satu masalah kerana kami adalah pasukan yang mengamalkan corak menyerang,” katanya.

Mengenai sasaran pada edisi kali ini, Avramovic berkata, beliau mahu memastikan pasukannya melepasi halangan peringkat kumpulan terlebih dulu sebelum memikirkan perkara lain.
Selepas aksi pembukaan menentang Malaysia, negara jiran itu sekali lagi berdepan tugas berat apabila menentang naib juara Piala Suzuki AFF 2010, Indonesia sebelum diikuti pasukan pusingan kelayakan, Laos bagi menentukan pasukan mana yang mendapat dua tiket ke separuh akhir.

Singapura tersingkir pada peringkat kumpulan pada edisi 2010 apabila sekadar menghuni tempat ketiga.

Piala AFF Suzuki 2012: Singapura ikut percaturan



KAPTEN Singapura, Shahril Ishak berharap pasukannya mampu mempamerkan corak permainan dirancang walaupun menyedari aksi pembukaan menentang juara bertahan yang juga tuan rumah Piala Suzuki AFF 2012, Malaysia amat sukar.
Pemain tengah berusia 28 tahun itu berkata, perlawanan menentang anak buah Datuk K Rajagobal itu pasti sengit kerana Malaysia lebih bermotivasi apabila tampil sebagai juara bertahan selain diiringi sorakan penyokong tempatan yang pasti memberikan sokongan padu sepanjang perlawanan.

Malah baginya, Malaysia masih pasukan yang bagus walaupun diselubungi beberapa keputusan aksi persahabatan kurang baik dan yakin mereka akan meningkat bagi memberikan aksi lebih baik sebaik kejohanan itu bermula, hujung minggu ini.
“Saya percaya kami akan melakukan yang terbaik untuk mencatat kemenangan namun ia tetap sukar kerana Malaysia juga mempunyai pemain berkualiti seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha selain Safiq Rahim yang mengetuai barisan tengah. Mereka pasukan yang lengkap dan susah untuk ramal sama ada kami mampu menang ataupun tidak.

“Kami perlu tenang dan berharap dapat menampilkan permainan seperti biasa dengan memberikan aksi terbaik. Kami hadir di kejohanan ini dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Pakistan, 4-0 dan persediaan kami boleh dikatakan bagus,” katanya yang turut meledak satu jaringan pada perlawanan persahabatan itu.

Mengenai pemilihan 12 pemain LionsXIi dalam skuad Singa termasuk dirinya, Shahril menjelaskan kombinasi baik dalam pasukan sentiasa terletak kepada pemain.
“Semua pemain kini bersemangat untuk memberikan aksi terbaik bagi merebut slot dalam kesebelasan utama. Semua akan memberikan 110 peratus,” katanya yang turut mampu beraksi di posisi sayap.

Kali terakhir Malaysia bertemu Singapura adalah dalam dua aksi persahabatan pada Jun tahun ini dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada pertemuan di Stadium Jalan Besar sebelum skuad negara mencatatkan kemenangan 2-0 dalam aksi timbal balik di Stadium Shah Alam beberapa hari kemudian, menerusi jaringan Ahmad Shakir Ali dan sepakan percuma Safiq.

Piala AFF Suzuki 2012: Sultan Ahmad Shah kecewa dengan pasukan Malaysia


PEMAIN negara gigih berlatih sebagai persiapan terakhir menjelang kempen Piala Suzuki AFF yang membuka tirainya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah kecewa dengan prestasi skuad Harimau Malaya pada siri perlawanan persahabatan.
Menurut baginda, prestasi tersebut agak membimbangkan menjelang Piala Suzuki AFF 2012 yang membuka tirainya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, baginda menyatakan kekecewaan itu ketika mengadakan pertemuan selama tiga jam dengan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
“Semalam (kelmarin), Sultan Ahmad Shah berjumpa dengan skuad kebangsaan dan mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama pemain serta turut meluahkan kekecewaan terhadap prestasi pemain yang ditunjukkan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.
“Bagaimanapun, baginda masih yakin dengan kemampuan skuad kebangsaan di bawah ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pengumuman Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi Piala Suzuki AFF 2012 di Angkasapuri, Kuala Lumpur semalam.
Pada aksi persahabatan sebelum ini, skuad Harimau Malaya tumpas 0-1 kepada Vietnam, dikalahkan Thailand 2-0 dan masing-masing seri 1-1 ketika bertemu Hong Kong dan Bangladesh.
Hamidin percaya kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan skuad Harimau Malaya menjalani latihan dan memberikan kata-kata semangat di padang Wisma FAM kelmarin juga akan mendorong pemain menampilkan aksi terbaik pada kejohanan itu kelak.
Beliau juga berharap penyokong dan peminat bola sepak tempatan akan terus memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya pada kejohanan kali ini.
“Sudah tentu untuk meraih kejayaan, pasukan memerlukan sokongan daripada penyokong. Saya berharap sokongan itu diberikan sehingga ke perlawanan terakhir.
“Saya yakin dengan kemampuan pemain, lebih-lebih lagi dengan peluang bermain di tempat sendiri, ditambah dengan sokongan rakyat Malaysia, tidak mustahil kita mampu merangkul kejuaraan,” katanya.
Malaysia yang merupakan juara bertahan akan membuka tirai perlawanan Kumpulan B menentang Singapura, Ahad ini diikuti Laos (28 November) sebelum menamatkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember.

Piala AFF Suzuki 2012: Rajagobal belum panik


RAJAGOBAL (tengah) belum mahu berasa panik meskipun skuad kendaliannya berdepan pelbagai kritikan ekoran aksi hambar pada perlawanan persahabatan.


"MEREKA (Harimau Malaya) tidak bermain semata-mata kerana saya tetapi mereka berhempas-pulas kerana ingin mengharumkan nama negara."
Demikian reaksi pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagopal ketika diminta mengulas mengenai prestasi semasa skuad negara sebelum mengharungi kejohanan Piala Suzuki AFF 2012 semalam.
Menurut Rajagobal, beliau sentiasa berbangga dengan barisan pemainnya yang terus gigih menjalani latihan dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF yang dimenangi dua tahun lalu.
Jelasnya, beliau yakin anak-anak buahnya akan tampil dengan aksi lebih kemas serta bertenaga pada kejohanan tersebut.
Harimau Malaya akan memulakan kempen menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
"Sebagai jurulatih, saya perlu sentiasa memberikan motivasi kepada semua pemain saya.
"Kami pernah melalui detik sukar pada Sukan SEA (2009) dan Piala Suzuki AFF 2010.
"Mereka boleh menerima segala (pendapat) negatif tetapi saya percaya dengan pengalaman lalu, mereka akan kembali bangkit dengan mempamerkan aksi lebih bertenaga.
"Apa yang tak betul, saya tidak sesekali mengatakan ia bagus tetapi saya tetap yakin mereka perlukan 'sinar' (ketika menentang Singapura) pada Ahad ini," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Jurulatih berusia 50 tahun itu mengakui, pandangan daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah bakal dijadikan suntikan moral buat pemain untuk mempamerkan aksi lebih konsisten.
"Kunjungan baginda amat dihargai oleh semua pemain skuad negara. Sepanjang penglibatan Sultan Ahmad dalam bola sepak tempatan selama 28 tahun, baginda sering memberikan perhatian kepada Harimau Malaya.
"Setiap pandangan dan nasihat baginda menjadikan kami lebih bersemangat dan sudah tentu keinginan kami untuk beraksi lebih kemas semakin berkobar-kobar.
"Pemain-pemain perlukan suntikan motivasi daripada seluruh rakyat terutama ketika berada dalam tekanan. Saya percaya mereka tahu untuk mengawal situasi tersebut.
"Selepas mendapat amanat daripada Presiden FAM serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya mahu mereka bersedia untuk berjuang pada kejohanan itu kelak," katanya.

Kegembiraan Penduduk Gaza


Penduduk Gaza gembira

PARA pejuang Hamas berarak bagi meraikan gencatan senjata dengan Israel di kem pelarian Jebaliya, utara Genting Gaza semalam.


BANDAR GAZA, Palestin - Presiden Palestin, Mahmud Abbas menghubungi Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh semalam bagi mengucapkan tahniah di atas 'kemenangan' menentang Israel.
"Dalam satu perbualan telefon, Abbas mengucap tahniah kepada Haniyeh di atas kemenangan Hamas dan takziah buat mereka yang mati syahid," kata satu kenyataan pejabat Haniyeh.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa melaporkan, Abbas menerima panggilan telefon daripada Haniyeh bagi memaklumkan mengenai situasi di Gaza selepas persetujuan gencatan senjata dicapai pada Rabu lalu
"Presiden 'tabik' di atas kesabaran penduduk Palestin ketika menghadapi serangan dan menekankan kepentingan gencatan senjata," lapor Wafa.
Pergerakan Hamas menguasai Gaza manakala Abbas daripada pergerakan Fatah menguasai pentadbiran Tebing Barat di Palestin.
Sementara itu, jalan-jalan raya di Gaza yang lengang ekoran serangan udara dan laut tentera Israel sebelum ini kembali dipenuhi dengan kereta dan orang ramai selepas gencatan senjata tersebut dipersetujui kedua-dua pihak.
Penduduk juga bersorak kegembiraan kerana sempadan Gaza yang ditutup Israel dibuka semula ekoran persetujuan gencatan tersebut.
Para pemimpin Hamas turut mengisytiharkan kemenangan ke atas Israel semalam.
Ribuan penyokong pergerakan itu mengibarkan bendera pada satu perhimpunan pada hari pertama gencatan senjata.
Serangan Israel berlaku selama lapan hari bagi membalas serangan roket para pejuang Palestin.
Haniyeh yang berucap menerusi televisyen meminta para pejuang menghormati gencatan senjata itu.
Gencatan senjata itu diusahakan oleh Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengucapkan terima kasih kepada Morsi kerana peranannya melakukan rundingan gencatan senjata itu.
"Presiden mengucapkan terima kasih kepada Morsi kerana usaha-usahanya untuk mencapai satu gencatan senjata dan disebabkan kepimpinannya dalam rundingan (gencatan senjata)," kata satu kenyataan White House.

HANIYEH (kiri) melambaikan tangan ke arah penduduk pada perhimpunan meraikan gencatan senjata di Bandar Gaza.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan beliau menerima cadangan AS supaya memberi peluang terhadap gencatan senjata tersebut dilaksanakan.
Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyatakan, Israel telah mencapai semua matlamat ketenteraan semasa serangan selama lapan hari itu.
Beliau juga mengarahkan pihak tentera memantau gencatan tersebut.
Gencatan senjata itu meminta Israel menghentikan semua aktiviti ketenteraan di daratan, laut dan udara termasuk melakukan serangan terhadap individu Palestin.
Serangan roket para pejuang Hamas juga akan dihentikan ekoran gencatan itu.
Israel juga akan membenarkan pergerakan penduduk Palestin dan barang melalui sempadan Gaza berdasarkan persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak.
Semasa serangan itu, tentera Israel menyatakan lebih 1,500 sasaran di Gaza telah diserang.
Para pejuang Palestin melancarkan 1,354 serangan roket ke wilayah Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Hamas, seramai 163 penduduk Palestin mati dan 1,235 lagi cedera.
Seramai lima penduduk Israel terbunuh dan 280 lagi cedera.
Sementara itu, Ketua Hamas, Khaled Meshaal menyatakan Israel gagal dalam serangan tersebut.
"Selepas lapan hari, Tuhan menjauhkan tangan mereka daripada penduduk Gaza.
"Semua matlamat Israel menemui kegagalan," katanya. - Agensi

Derita Rakyat Palestin Belum Berakhir!!!





PETANG 10 November lalu, Mohammed Ussama Hassan Harara, 16, dan Ahmed Mustafa Khaled Harara, 17, seperti biasa keluar bermain bola sepak di taman permainan berdekatan rumah mereka di Al-Shoja'iya, timur Gaza.
Namun, tidak lama berada di taman itu tiba-tiba kedengaran siren dan jeritan kuat menyuruh mereka menyembunyikan diri.
Tatkala rakan-rakan mereka bertempiaran lari, namun langkah Mohammed Ussama dan Ahmed Mustafa ternyata tidak cukup pantas.
Bedilan meriam tentera Zionis Israel tepat jatuh di taman permainan itu dan meragut nyawa kedua-dua remaja berkenaan.
Berita kematian mereka hanya menjadi bisikan sepi dunia kerana ternyata ia bukanlah satu kisah asing.
Sebelum Mohammed Ussama dan Ahmed Mustafa, sejak tahun 2000 lebih 1,477 kanak-kanak Palestin sudah terbunuh di tangan Tentera Pertahanan Israel (IDF).
Pada 14 November lalu, Hamas melancarkan serangan ke atas Israel sehingga meragut tiga nyawa warga Israel yang merupakan orang awam. Berita tersebut dimainkan oleh media-media Barat pro-Israel. Atas alasan mempertahankan diri, Zionis kembali bermaharajalela sekali gus melancarkan operasi Pillar of Defence.
Namun pada asalnya, segala-galanya berpunca daripada serangan awal Israel yang mengorbankan Ketua Ketenteraan Gaza, Ahmed Jabari.
Sehari sebelum umat Islam menyambut Maal Hijrah, peluru berpandu dan meriam Zionis mula menghujani langit Palestin.
Genap seminggu Israel belum juga menunjukkan rasa belas kasihan. Setakat hari ketujuh kekejaman Israel (Selasa lalu), sudah 100 nyawa orang Palestin kecundang.
Persoalannya, di manakah perikemanusiaan masyarakat antarabangsa, di manakah keadilan untuk orang Palestin dan polis dunia seperti Amerika Syarikat (AS)?
Bagaimanakah dunia boleh menghalalkan dosa-dosa Israel yang sudah menjangkau lebih enam dekad sehinggakan darah-darah orang Palestin sudah tidak bermakna lagi?
Memetik kata-kata Presiden AS, Barack Obama: "Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan AS menyokong sepenuhnya tindakan Israel dalam mematahkan serangan yang dilancarkan pihak Hamas."
Mengulas kekejaman terbaharu Israel itu, Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (Just), Dr. Chandra Muzaffar menyatakan, Israel tahu bahawa AS sentiasa menyokong setiap keputusan yang dilaksanakan mereka.
"Walaupun Obama tahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ialah penyokong Mitt Romney yang tewas dalam pilihan raya lalu, beliau masih meletakkan kepercayaan kepada Israel.
"Keadaan ini tidak mengejutkan dunia kerana politik AS sebenarnya dikuasai oleh pihak-pihak asing yang digelar pelobi. Kebanyakan pelobi ini datang daripada kumpulan pro-Israel," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.
Secara telusnya, penderitaan rakyat Palestin bermula sejak tahun 1946.
Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada B'Tselem, sejak tahun 2000 sehingga September 2012, seramai 14,922 warga Palestin telah terkorban. Jumlah itu berbeza dengan kematian yang melibatkan rakyat Israel iaitu sebanyak 1,097 yang kebanyakannya merupakan tentera Israel.
Derita enam dekad
Dosa Israel ternyata bukan hanya membunuh, mereka juga merampas sedikit demi sedikit tanah Palestin, malah menyekat sumber air umat Islam.
Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan pada tahun 1946 Palestin mempunyai keluasan tanah 26,990 kilometer persegi, tetapi hari ini angka itu hanya tinggal 6,220 kilometer persegi (5,860 di Tebing Barat dan 360 kilometer persegi di Gaza).
Berkongsi lebih dekat penderitaan penduduk Palestin, Kosmo! sempat menemu bual Ketua Misi Bantuan Palestin anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Muhammad Kamarulazizi. Beliau baru pulang ke tanah air Selasa lalu, selepas mengikuti rombongan ke Tebing Barat pada awal November lepas.
Ujarnya, keadaan di Palestin boleh dipecahkan pada dua kategori.

JENAZAH Mohammed Ashour yang berumur sembilan tahun dibawa untuk pengebumian selepas dia terbunuh berhampiran rumahnya di Gaza pada 21 November lalu ekoran serangan Israel.


"Bandar-bandar penduduk Palestin kotor dan tidak dibersihkan majlis perbandaran sedangkan mereka membayar cukai yang tinggi. Kami hairan melihat kawasan orang Israel yang jauh lebih teratur dan diselenggara dengan baik walhal perumahan mereka hanya bersebelahan.
"Apa yang pasti, warga Palestin ibarat hidup terbuang di dalam negara sendiri. Lesen perniagaan dikenakan bayaran tinggi dan disebabkan itu ramai dalam kalangan mereka menjalankan urus niaga secara rahsia. Ekonomi dan sosiologi Palestin pada dasarnya diperintah Israel walaupun ia tidak terletak di bawah bidang kuasa mereka.
"Paling ketara ialah agihan bekalan air. Rakyat Palestin tahu pihak Israel akan melakukan sekatan air pada bila-bila masa, jadi setiap rumah menyediakan satu tangki simpanan air sebagai kegunaan pada waktu kecemasan," kongsi Muhammad panjang lebar.
Ujarnya, ketika umat Islam lelaki di seluruh dunia menjalankan ibadat solat Jumaat dengan tenang, warga Palestin berumur 14 hingga 40 tahun pula terpaksa bertarung nyawa bagi menunaikan tanggungjawab tersebut.
Menurut Muhammad, kumpulannya sendiri menyaksikan ketegangan yang berlaku antara orang Palestin dan tentera Israel yang berkawal di luar tembok Masjid al-Aqsa.
Penafian rejim Zionis terhadap orang Palestin yang ingin memasuki masjid menimbulkan kemarahan mereka dan bertindak membaling batu ke arah tentera-tentera tidak berhati perut itu.
Akibatnya, warga Palestin yang bertindak sedemikian ditangkap tanpa diberi ruang membela diri.
Selama sembilan hari di Palestin, rombongan Muhammad turut berkesempatan melawat dua buah sekolah yang terletak di pekarangan masjid al-Aqsa dan Baitulmuqaddis.
Gencatan senjata

MUHAMMAD (tengah) bersama kanak-kanak Palestin ketika menjayakan misi bantuan ke Tebing Barat bermula 12 hingga 19 November lalu.


"Suasana pembelajaran sama seperti negara lain. Namun, kanak-kanak Palestin perlu melepasi pintu pemeriksaan yang dikawal tentera Israel setiap kali mereka ingin ke sekolah. Ia menunjukkan betapa ketatnya pergerakan rakyat Palestin meskipun berada dalam kawasan sendiri.
"Bagaimanapun, semangat kanak-kanak Palestin dalam memperjuangkan kebangkitan semula negara mereka sangat tinggi," cerita Muhammad.
Daripada 22 negara yang menyertai Liga Arab (termasuk Palestin dan Libya), hampir semua memilih jalan selamat untuk tidak mencetuskan pertikaian dengan Israel.
Mesyuarat dalam kalangan menteri luar negeri ahli Liga Arab yang diadakan pada Sabtu lalu di Kaherah, Mesir tidak mencapai sebarang penyelesaian terhadap penderitaan yang sedang dialami Palestin. Rata-rata bersetuju dengan cadangan gencatan senjata berbanding menentang kekejaman Zionis.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Ahmad Jassim dalam mesyuarat tersebut menyatakan, kesemua negara Arab takut untuk mengeluarkan rancangan konkrit terhadap Palestin kerana mahu menjaga hubungan baik dengan AS dan Israel.
"Sebarang rancangan yang teliti memerlukan keputusan serius yang akan menyinggung Israel dan AS," ujar seorang diplomat Liga Arab pada mesyuarat tersebut.
Kenyataan yang dikeluarkan pegawai rasmi dari Mesir pula secara jelas meneguhkan prinsip mereka untuk membantu dalam pergolakan Palestin. Mesir enggan memulakan sengketa dengan Israel atau AS memandangkan negara itu sedang dalam proses permohonan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa.
Persoalannya, jika kuasa besar seperti Liga Arab dan PBB hanya mampu melontar pandangan tanpa sebarang tindakan agresif terhadap Israel, mampukah Palestin menamatkan konflik dan membina negara merdeka dengan kaki sendiri?

Thursday, November 22, 2012

Burger KL Janda-Jandaku Gangster sedapppp!



PATI daging burger bakar diadun dengan rempah ratus istimewa.


MALAM semakin dingin dan jarum jam di tangan sudah melebihi pukul 11 malam. Secara logiknya mengikut putaran alam, waktu begitu kebanyakan daripada kita sepatutnya sedang berkira-kira untuk masuk tidur. Mungkin juga ada yang sudah dibuai mimpi enak.
Namun, senario sebaliknya berlaku apabila anda mengunjungi Restoran Soho Seafood di Sungai Merab, Bangi, Selangor.
Orang ramai masih memenuhi kawasan itu tanpa terdapat tanda-tanda untuk mereka mahu pulang ke rumah.
Tegar melayani kedinginan embun pagi yang mula menitis, penangan hidangan di KL Burger Bakar adalah jawapan kepada segala-galanya.
Gara-gara burger bakar yang berharga antara RM7 hingga RM20, hidangan Barat di gerai itu telah mendapat sambutan luar biasa dan menimbulkan satu fenomena dalam kalangan pengunjung.
Pemiliknya, Mohammad Fikry Abdullah, 29, berkata, walaupun pada mulanya sesetengah pembeli merasakan bahawa harga burger itu agak mahal, namun selepas menikmatinya, mereka terpesona dengan rasa daging burger yang cukup enak dan empuk.
Tambahnya, selain ketebalan dan berat dagingnya mencecah sehingga 140 gram setiap keping, daging-daging tersebut telah diproses dengan resipi sendiri.
“Adunannya dibuat sendiri dengan campuran daging kisar, daun sup, bawang dan beberapa ramuan rahsia lain. Burger ini lebih enak jika dinikmati ketika masih panas kerana jus-jus daging yang meleleh,” katanya.
Hari ini, burger bakar semakin mendapat tempat dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan hidangan Barat itu sedang mengalami evolusi mendadak.
Lebih istimewa, daging burger tersebut bersaiz agak besar dan tebal berbanding burger konvensional. Ia dibakar menggunakan pemanggang dengan menggunakan arang sebagai bahan api.

BURGER KL Janda-Jandaku Gangster setinggi tiga tingkat menjadi jawapan kepada selera pengunjung yang berganda.


Justeru, siapa mampu menepis keenakan hidangan daging burger bakar yang tebal yang panas-panas dan dilimpahi sos cili, sos lada hitam, mayonis, sos Thousand Island dan sos keju. Ia disempurnakan dengan sayur-sayur seperti salad, bawang dan nanas.
Menikmati hidangan berkenaan adalah mengikut cara masing-masing dan seseorang itu tidak perlu segan jika mulut comot sedikit. Itulah nikmatnya burger bakar!
Mohammad Fikry berkata, dia bersama dua kakitangan kini tidak menang tangan melayan pengunjung yang tidak putus-putus datang bermula pukul 6.30 petang hingga 12 tengah malam.
Ditanya cabaran bergelar usahawan burger bakar, dia menjelaskan, tanggapan masyarakat yang mengatakan bahawa makanan Barat itu cepat disiapkan seperti burger konvensional perlu dikikiskan.
Jelasnya, proses membakar daging burger mengambil masa antara 25 hingga 30 minit dan perlu dihidangkan ketika masih panas untuk mengekalkan kualitinya.
“Pada peringkat awal gerai ini dibuka, ramai pembeli yang kadang-kadang tidak faham dan sering merungut kenapa terpaksa menunggu lama. Namun, saya tidak salahkan mereka kerana mungkin tidak faham dengan proses penyediaan daging burger bakar.
“Tapi Alhamdulillah, selepas hampir tiga bulan beroperasi, semakin ramai pembeli tetap yang sudah faham malah ada yang sanggup menunggu giliran tempahan untuk tempoh masa yang lama,” katanya tersenyum.

BURGER KL Menjerit bertambah istimewa dengan sajian udang bakar secara sampingan.


Berkenaan nama hidangan KL Burger Bakar yang unik, dia memberitahu bahawa dia sengaja menampilkan kelainan menerusi penggunaan tajuk-tajuk filem sebagai daya penarik selain rasa dagingnya yang luar biasa.
Nama-nama filem dipilih kerana ia mencapai kutipan box-office dan dia percaya, jualan burger yang menggunakan nama tersebut juga mampu mencapai sasaran serupa.
Antara burger yang paling mendapat perhatian ialah burger KL Drift yang menampilkan daging burger dihias dengan kepingan keju serta daging salai.
“Burger KL Janda-Jandaku Gangster pula bagi mereka yang gemar menikmati makanan itu dalam kuantiti yang banyak iaitu daging burger yang disusun tiga tingkat dan dijual pada harga RM20,” katanya penuh semangat.
Kepada mereka yang ingin membuat tempahan awal atau majlis katering, anda boleh menelefon KL Burger Bakar, Sungai Merab, Bangi di talian 019-222 4475.

Atletico pasang impian




FALCAO (depan) bakal direhatkan pada aksi menentang Hapoel Tel Aviv di Stadium Vicente Calderon awal pagi esok.


MADRID - Juara bertahan, Atletico Madrid akan menempah slot ke pusingan kalah mati Liga Europa sekiranya berjaya mengelak daripada mengalami kekalahan kepada Hapoel Tel Aviv di Stadium Vicente Calderon awal pagi esok.
Atletico menjadi pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya selepas berkongsi sembilan mata dengan Viktoria Plzen diikuti Academica Coimbra dan Tel Aviv dalam Kumpulan B.
Skuad bimbingan Diego Simeone perlu mencatat keputusan seri untuk mengekori Bayer Leverkusen, Hanover, Inter Milan, Olympique Lyon, Metalist Kharkiv dan Rubin Kazan ke kelompok 32 pasukan terbaik.
Bagaimanapun, Simeone dijangka merehatkan beberapa pemain utama termasuk Radamel Falcao dan Arda Turan, sekali gus memberi peluang kepada barisan pemain simpanan seperti Silvio, Domingo Cisma, Cristian Rodriguez dan Diego Costa untuk beraksi.
Sementara itu, tiga kelab Liga Perdana England, Liverpool, Tottenham Hotspur dan Newcastle United berkongsi matlamat yang sama pada aksi Liga Europa awal pagi esok.
Ketiga-tiga kelab itu memasang impian untuk mara ke pusingan kalah mati lebih awal.
Liverpool, Tottenham dan Newcastle bergelut dalam kempen liga domestik tetapi nasib mereka lebih baik di Eropah apabila semakin menghampiri kedudukan 32 pasukan terbaik.
Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berjaya membawa skuad The Reds di landasan yang betul selepas melakukan permulaan yang hambar musim ini.
Kemenangan di laman sendiri menentang kelab Switzerland, Young Boys akan menjamin impian kelab tersebut untuk menjulang trofi kejohanan Eropah sejak kejayaan bersejarah menewaskan AC Milan pada final Liga Juara-Juara 2005.
Tottenham akan berdepan dengan ujian yang sukar apabila dijadualkan menentang Lazio di Stadium Olimpik, Rom setelah terikat 0-0 pada perlawanan pertama, September lalu.
Newcastle yang memenangi Piala Inter-Cities Fairs pada 1969 sebelum kejohanan bertukar nama kepada Piala UEFA (1971) dan kini dikenali sebagai Liga Europa berpeluang untuk memperbaiki persembahan di St. James Park. - Agensi

Najib sampai amanat kpd Harimau Malaya harungi Piala AFF Suzuki 2012 bermula ahad ini.



NAJIB (berdiri, tiga dari kiri) meluangkan waktu menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.


“BILA kita jatuh, kita bangun semula. Bila kita berjaya, kita lipatgandakan segala usaha,”
Demikian amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada skuad Harimau Malaya ketika ‘turun padang’ menyaksikan sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, petang semalam.
Najib meluangkan masa bersama skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu untuk memberikan kata-kata pembakar semangat kepada pemain dalam misi mempertahankan kejuaraan pada kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2012.
Najib yang turut ditemani Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau tetap menaruh keyakinan kepada skuad negara selaku juara bertahan, sekali gus berharap para pemain akan bangkit pada aksi Piala AFF Suzuki yang bakal membukai tirai, Sabtu ini.
Jelasnya, beliau juga berharap barisan pemain negara akan berjuang habis-habisan dan memperbaiki persembahan hambar dalam beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini.
“Bagi saya, Perdana Menteri dan pemain bola sepak memiliki satu persamaan.
“Ini kerana apabila kita berjaya, kita akan disanjung namun sekiranya kita gagal, kita akan dikritik hebat.
“Menyarungkan jersi Harimau Malaya adalah satu penghormatan (buat pemain-pemain). Mereka adalah insan terpilih untuk membawa imej negara di persada antarabangsa.
“Saya masih percaya dengan jurulatih dan pemain-pemain negara dalam usaha mempertahankan trofi Piala AFF Suzuki dan kita masih memiliki peluang.
“Kita perlu melupakan kekalahan kepada Vietnam (0-1), Thailand (0-2) serta persembahan kurang memberangsang ketika menentang Hong Kong dan Bangladesh yang mana kita sekadar seri 1-1,” katanya.
Tambah Najib, beliau selaku wakil kerajaan akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Harimau Malaya selain bakal mengumumkan ganjaran kepada barisan pemain sekiranya mereka berjaya mempertahankan kejuaraan itu.
“Saya percaya, seluruh rakyat akan memberikan sokongan padu kepada Harimau Malaya. Walaupun saya tahu pemain-pemain bola sepak memiliki pendapatan lumayan tetapi kerajaan akan bagi sesuatu nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Safiq Rahim selaku kapten Harimau Malaya mengakui terharu dengan kunjungan pemimpin No. 1 negara itu dan berazam untuk mempamerkan aksi cemerlang demi negara.
“Saya berjanji kami akan berjuang dengan sepenuh jiwa raga kami dalam usaha mempertahankan trofi yang diraih dua tahun lalu demi negara,” katanya.

Dapatkan segera!!!

Preview Video Borong Murah di CHINA!

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-commerce