SAO PAOLO – Kemeriahan di Brazil untuk menjadi penganjur pesta Piala Dunia tahun depan menerima tamparan hebat apabila dikejutkan dengan tragedi kren di projek pembinaan Stadium Itaquerao runtuh.
Insiden berkenaan menyebabkan tiga pekerja terbunuh selepas kren seberat 500 tan itu tumbang ketika kerja-kerja pembinaan fasa akhir stadium berkenaan sedang dijalankan.
Kontraktor pembinaan kini sedang berhempas pulas menyiapkan stadium tersebut sebelum tarikh penyerahan bulan depan seperti yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia FIFA.
Insiden berkenaan juga dianggap masih bernasib baik kerana tidak menyebabkan lebih ramai nyawa terkorban.
Ini kerana ketika kejadian pada waktu tengah hari, sewaktu sebahagian besar daripada 1,700 pekerja sedang berehat.
Ekoran perkembangan tersebut, kesatuan pekerja mahu kerja-kerja pembinaan itu dihentikan selama 30 hari bagi tujuan siasatan.
Namun kontraktor terbabit mahu kerja-kerja pembinaan disambung segera bermula Isnin depan.
Stadium yang bernilai RM1 bilion ringgit itu mampu menampung sehingga 70,000 penonton.
Ia bakal digunakan kelab Liga Brazil, Corinthians sebaik temasya Piala Dunia berakhir.