“TINDAKAN walk out (keluar padang) bererti pasukan kita (Indonesia) pengecut.
“Jadi Indonesia tidak akan sesekali atau tak boleh walk out. Itu akan menjadi kerugian kepada kita sendiri.”
Demikian penegasan dibuat Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes pada sidang akhbar di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pagi semalam.
Ia rentetan laporan pihak media di negara republik itu kelmarin bahawa skuad Indonesia mengancam untuk memboikot aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil andai pemain mereka diganggu sinaran laser oleh penyokong Malaysia.
Dakwa mereka, pada aksi separuh akhir pertama Malaysia bertemu Vietnam minggu lalu, penjaga gol Vietnam telah diganggu sinaran laser sehingga menyebabkan pasukan juara bertahan itu tewas 0-2.
“Memang perkara ini berlaku ketika Malaysia bertemu Vietnam tempoh hari. Tapi permainan telah dihentikan seketika sehingga individu yang memancarkan sinaran laser itu ditangkap.
“Jadi kami telah bertemu pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam (kelmarin) bagi meminta jaminan hal yang sama tidak berulang pada Ahad ini.
“Tapi jika ia berlaku sekali pun, permainan akan dihentikan seketika sehingga individu terbabit ditangkap. Jadi tak wajar untuk kita melakukan tindakan walk out kerana kita sendiri yang rugi,” jelas Nugraha pada sidang akhbar tersebut.
Pihak media di Indonesia mungkin mahu sengaja mensensasikan berita berhubung pemboikotan tersebut apabila mereka memetik komen daripada Ketua Umum PSSI, Nurdin Halid ketika pertemuan dengan media di Pejabat PSSI di Senayan, Jakarta kelmarin.
Nurdin dipetik sebagai berkata pada pertemuan tersebut: “Soal sinar laser pernah dikeluhkan jurulatih Vietnam kerana ia berbahaya jika terkena mata secara berlebihan.
“Jika itu terjadi lagi, kami akan memboikot pertandingan. Pasukan kami akan terus menghentikan permainan.”
Namun, dakwaan Nurdin ini agak keterlaluan sekali gus disensasikan oleh media Indonesia.
Apalah sangat pada sinar laser, dan tidak mungkin ia boleh menjejaskan rentak permainan seseorang pemain itu.
Indonesia seharusnya tidak perlu membuat helah seperti itu, sebaliknya berterima kasih kerana terlalu diberi keistimewaan sepanjang kejohanan ini.
Mereka beraksi di tempat sendiri sehingga ke perlawanan separuh akhir berbanding pasukan lain.
Ancaman untuk memboikot hanya disebabkan sinaran laser, membuktikan betapa pengecutnya mereka untuk beraksi di gelanggang lawan.
Indonesia boleh dianggap bernasib baik melangkah ke final kerana dua perlawanan separuh akhir dilangsungkan di Gelora Bung Karno, Jakarta ekoran masalah stadium dihadapi lawan mereka, Filipina.
Sepatutnya, aksi kedua separuh akhir antara Indonesia dengan Filipina itu diadakan di gelanggang berkecuali sama ada di Singapura atau di Kuala Lumpur.
Indonesia tidak perlu membuat sebarang helah menjelang perlawanan akhir pertama ini kerana mereka sudah terlalu banyak mendapat keistimewaan sepanjang kejohanan ini.
p/s: indonesia macam cuak je sbb malaysia tewaskan pasukan no 1 asia tenggara vietnam :)
No comments:
Post a Comment