Kuala Lumpur: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) akan memberi komitmen sepenuhnya dalam membantu menyalurkan pembiayaan kepada usahawan kecil tempatan apabila akan meningkatkan jumlah peruntukkan pembiayaannya sebanyak RM600 juta bagi tahun ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, jumlah peruntukkan itu dijangka dapat dimanfaatkan lebih 50,000 usahawan yang memohon.
Katanya, tahun lalu TEKUN menyalurkan RM508 juta pinjaman kepada lebih 45,000 usahawan daripada pelbagai sektor berbanding RM311 juta pada 2011.
“Pada 2012, kerajaan menyuntik dana RM300 juta berbanding RM120 juta yang diterima pada tahun sebelumnya dan selebihnya kami beri kepada pemohon melalui kutipan bayaran balik peminjam TEKUN.
“Disebabkan pembayaran balik yang semakin meningkat oleh peminjam, kami yakin dapat menyalurkan lebih banyak pinjaman kepada usahawan yang memerlukan, malah sejak 1998 hingga kini kami sudah membantu lebih kurang 250,000 peniaga kecil,” katanya kepada Bisnes Metro yang ditemui di Kuala Lumpur.
Menurutnya, jumlah pinjaman yang diberikan TEKUN adalah bermula dari RM1,000 hingga RM50,000 dan bagaimanapun pihaknya akan mempertimbangkan bagi pinjaman bernilai RM100,000 terutama bagi peminjam mempunyai rekod bayaran cemerlang.
“Walaupun, pinjaman maksimum RM50,000 namun kami akan pertimbangkan permohonan pembiayaan besar untuk perniagaan yang dilihat berdaya maju serta mampu dikembangkan, tetapi mereka perlu mencatatkan rekod pembayaran cemerlang.
“Kami di TEKUN mengamalkan pembayaran lebih fleksibel di mana jika mereka (peminjam) betul-betul tidak mempunyai untung untuk bayaran mereka boleh membayar separuh dan dilangsaikan jika perniagaan kembali stabil. Itu lebih baik daripada mereka yang langsung tidak mahu membayar semula pinjaman yang diberikan,” katanya.
Abdul Rahim berkata, setakat ini usahawan yang memohon pembiayaan TEKUN, 60 peratus daripadanya menjalankan perniagaan dalam bidang perkhidmatan dan peruncitan, manakala selebihnya pembuatan kecilan, pertanian dan industri asas tani.
Beliau berkata, dari segi permohonan pula terdapat lebih kurang 8,000 permohonan yang masih dalam proses dan pihaknya akan memberi pinjaman kepada mereka yang betul-betul layak.
No comments:
Post a Comment