Seminar Hartanah

Bisnes Import Dari China

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-Commerce
Selamat Datang Ke blog TeRsEbUt AL-KiSaH

Followers

Pages

Monday, October 8, 2012

Demokrasi cara Islam


BARU-baru ini berlangsungnya pilihan raya kampus membabitkan hampir seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang saya kira cukup sengit.Mungkin belum terlambat untuk saya ucapkan tahniah kepada calon yang berjaya memenangi kerusi pilihan raya berkenaan, tidak kira sama ada membabitkan calon Pro Mahasiswa atau Pro Aspirasi. Yang penting, setiap calon menjalankan amanah dengan baik kerana kini terpikul satu tanggungjawab besar di bahu masing-masing.

Secara peribadi, pilihan raya peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) membuktikan Malaysia sebagai negara demokrasi yang turut memberi kebebasan kepada setiap individu, termasuk siswa serta siswi, mengundi calon pilihan masing-masing yang dirasakan layak.


Ini memang suasana sihat, terutama apabila melihat kembali kepada sirah Rasulullah SAW menunjukkan amalan demokrasi diamalkan pada zaman baginda lagi.

Malah, selepas kewafatan baginda, pemilihan khalifah pertama turut dilakukan secara demokrasi, di mana sahabat mengadakan ‘syura’ (mesyuarat) untuk memilih siapa yang layak memikul tanggungjawab sebagai pemimpin di ‘Saqifah Bani Sa’idah’ yang terletak berhampiran masjid nabi.

Kalau kita merujuk kepada perkataan demokrasi sendiri, ia berasal daripada bahasa Yunani iaitu ‘demos’ (rakyat) dan ‘kratos’ (kekuasaan). Atau dalam istilah bahasa Arab disebut sebagai ‘al-hurriyyah’ yang bermaksud kebebasan.

Jelas di sini, demokrasi diamalkan sejak zaman baginda lagi dan harus menjadi amalan bagi umat Islam seluruh dunia untuk mengamalkan sistem demokrasi berdasarkan garis panduan yang ditetapkan dalam Islam.

Justeru, amalan mengundi pada hari ini boleh dianggap sebagai cara musyawarah peringkat global.

Mungkin ada segelintir di kalangan sahabat siswa dan siswi tidak mahu terbabit dalam pilihan raya kampus, bahkan mungkin ada yang terus memboikot.

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana Islam dan politik tidak boleh dipisahkan. Jika tidak ada politik, tiadalah barisan pemimpin untuk mentadbir dan mengawal kestabilan ekonomi, sosial dan seumpamanya.

Jika ada yang memilih menjadi ulat buku saja, dibimbangi keluarnya kita daripada IPTA atau IPTS nanti akan menjadi seperti ‘katak di bawah tempurung’.

Berjinak-jinak dengan politik kampus dan pilihan raya kampus mendidik kita supaya hidup bermasyarakat dan saling kenal mengenali, bukan semata-mata melayani kerenah emosi yang bersifat sementara.

Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pertolongan Allah bersama jemaah.” (Riwayat al-Tirmizi) Bagaimanapun, harus diingat, fahaman politik setiap siswa dan siswi pasti berbeza. Oleh itu, sikap toleransi perlu diamalkan.

Kita perlu ada sifat ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’, iaitu kita menghormati pandangan orang lain, tetapi tidak bermakna kita bersetuju dengan pendapatnya.

Elak bersifat tidak menghormati dan mengutuk orang lain apabila tidak bersetuju dengan pendapat mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Permudahkanlah, janganlah menyusahkan, tenangkanlah dan janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam keghairahan kita berpolitik di kampus, jangan dilupa tanggungjawab sebenar kita sebagai pelajar. Bahagikan masa dengan baik dan selalu berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan urusan kita sebagai pelajar dan pemimpin.

Mari kita ambil contoh daripada Rasulullah SAW dalam mengamalkan sistem demokrasi sewaktu pemerintahan baginda.

Ketika membentuk negara pertama dalam Islam iaitu Madinah yang pelbagai agama, baginda menjadikan ‘Piagam Madinah’ sebagai konstitusi negara Madinah yang membawa kepada kesepakatan bersama orang Yahudi untuk mengecapi nikmat keamanan bersama.

Begitu juga sewaktu Perang Badar, peperangan yang kali pertama berlaku dalam sejarah Islam antara kaum Muslimin dengan orang Arab pagan, di mana Rasulullah SAW mengetepikan pendapatnya dan menerima pendapat sahabatnya dalam menyusun strategi perang.

Ketika Perang Khandaq pula, baginda mendengar pendapat sahabat bernama Salman Al-Farisi yang mengutarakan pandangan untuk menggali parit sebagai strategi perang yang pernah diamalkan tentera Parsi.

Cara itu sememangnya sesuatu yang baru dan belum pernah diketahui di kalangan orang Arab kerana Salman Al-Farisi berasal dari Parsi.

Walaupun ketika itu Salman bukan ketua pasukan dan hanya tentera biasa, Rasulullah tetap menerima cadangan berkenaan berikutan ia mampu memberi kemenangan kepada tentera Islam walaupun strategi itu sesuatu yang asing ketika itu.

Ini menggambarkan kepada kita mengenai sikap seorang pemimpin berjiwa rakyat dan mempunyai sikap keterbukaan mendengar suara orang di bawahnya.

Saya menyeru kepada siswa dan siswi supaya berpolitik mengikut cara diamalkan Rasulullah SAW. Tidak kira siapa memberi cadangan atau pendapat kerana mereka berhak menyatakan pandangan dan terimalah jika ia baik untuk semua pihak.

Suka saya memetik kata-kata pakar mata, Prof Dr Muhaya Mohamad dalam bukunya bertajuk ‘Pelajar Bertanya, Prof Dr Muhaya Menjawab’.

Dalam kata-katanya, Dr Muhaya berkata: “Apabila kita mahu melihat dunia luar berubah, kita perlu mengubah diri kita dulu. Apabila kita mengubah diri kita, secara automatik dunia akan berubah. Apabila kita mengubah minda kita, secara automatik juga diri kita akan berubah. Ini kerana, minda dan perasaan adalah dunia dalaman kita.

“Jika dunia dalaman kita betul, dunia luar juga akan betul. Jika kita orang baik, kita akan nampak semua orang baik. Jika kita sering nampak sifat negatif orang, bermakna kita sendiri memiliki banyak sifat negatif.”

Semoga menjadi panduan bagi barisan pimpinan di semua kampus seluruh Malaysia. Selamat menjalankan tugas.

No comments:

Dapatkan segera!!!

Preview Video Borong Murah di CHINA!

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-commerce