SELEPAS lebih 15 tahun tinggal dalam pondok buluh di kem pelarian Beldangi di Nepal, Hem Lal Subedi sudah tiada keinginan lagi untuk pulang semula ke Bhutan dan kini melihat satu-satunya pilihan ialah kehidupan baru di luar negara.
Subedi merupakan salah seorang daripada 100,000 penduduk Bhutan berasal dari Nepal yang meninggalkan Bhutan pada awal tahun 1990-an selepas pakaian wajib kebangsaan diperkenalkan dan bahasa Nepal diharamkan.
Peraturan baru itu mencetuskan protes yang menyebabkan kawalan ketat menghalang keganasan dikuatkuasakan oleh pihak berwajib.
"Sejak setahun lalu, saya sudah berputus asa untuk kembali ke negara asal. Kami sudah menghabiskan masa begitu lama di kem ini di mana kami terpaksa hidup seperti peminta sedekah dan bergantung pada bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," kata Subedi, 53, yang pernah menjadi seorang petani berjaya sebelum menjadi pelarian.
Kerajaan Bhutan mendakwa mereka yang meninggalkan negara itu dalam jumlah yang besar pada awal tahun 1990-an, adalah sama ada imigran yang hidup secara haram di Bhutan atau individu yang meninggalkan Bhutan secara sukarela.
"Kehidupan di kem pelarian ini lebih baik berbanding di Nepal, India atau Bhutan. Itulah sebab mengapa ramai orang berhimpun di kem ini mendakwa menjadi pelarian," kata jurucakap rakyat Bhutan, Kinzang Dorji.
Tetapi kumpulan hak-hak kemanusiaan berkata, pelarian itu merupakan mangsa kempen pembersihan etnik yang menyaksikan satu perenam daripada 600,000 rakyat Bhutan terpaksa melarikan diri.
Etnik petani Nepal diberi kerakyatan Bhutan pada tahun 1958 dan kebanyakan pelarian di kem tersebut masih memiliki dokumen mereka dengan harapan satu hari nanti, mereka mungkin akan mendapat kembali tanah mereka.
Subedi masih mempunyai pengenalan diri dan tiada sebarang kekeliruan mengenai statusnya.
"Saya seorang pelarian. Pihak berwajib yang memaksa saya meninggalkan negara saya. Saya berada dalam persembunyian kerana telah mengambil bahagian dalam demonstrasi prodemokrasi secara aman pada tahun 1990 dan isteri saya menerima akibatnya," jelas Subedi lagi.
Kerajaan Nepal dan Bhutan telah mengadakan 16 kali rundingan dengan pelarian tanpa sebarang hasil dan dengan tiada petanda mereka akan dibenarkan kembali. Justeru, ia menyebabkan Subedi dan pelarian yang lain putus harapan.
Peluang permulaan hidup di negara baru meningkat untuk 107,000 penduduk kem pada tahun 2006 apabila Amerika Syarikat (AS) menawarkan diri bagi menerima sekurang-kurangnya 60,000 pelarian dengan Kanada, Belanda, Australia, New Zealand, Denmark dan Norway bersetuju untuk mengambil sejumlah kecil.
Tetapi tawaran penyelesaian menyebabkan ketegangan antara puak atau kumpulan kecil di kem tersebut.
Kumpulan Radical Bhutanese Maoist telah mengebom pejabat International Office of Migration (IOM), sebuah pertubuhan yang menyelesaikan masalah pelarian di sana.
Lebih memburukkan keadaan, mereka juga menyerang bas-bas kosong yang dalam perjalanan dari lapangan terbang selepas menghantar pelarian untuk memulakan perjalanan panjang ke luar negara.
Lima ribu pelarian telah dihantar ke tempat baru dan mereka yang mahu kekal dan berkempen dibenarkan kembali semula ke Bhutan tetapi terkandas dengan kira-kira 50,000 pelarian mendaftar untuk meninggalkan kem.
Ketua pemimpin pelarian, Bhampha Rai merupakan pakar bedah kepada keluarga diraja Bhutan sebelum meninggalkan negara itu pada tahun 1991. Dia merasakan pelarian yang memohon untuk dihantar ke luar negara telah melakukan satu kesilapan besar.
"Ramai orang berfikir AS dan lain-lain negara adalah syurga tetapi ia satu pandangan yang silap. Mereka (pelarian) kurang kemahiran dan benar-benar akan hidup susah setibanya di sana," ujar Rai.
Dia percaya bahawa persetujuan untuk berpindah ke luar negara membuktikan pelarian berputus asa dengan permintaan mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan Bhutan berakhir dengan masalah dan kekecewaan.
"Mereka yang meninggalkan negara tidak memikirkan kesan jangka masa panjang akibat tindakan ini. Sekali mereka pergi, sukar untuk mereka mendapatkan semula taraf kerakyatan dan tidak mungkin akan dibenarkan pulang semula," jelasnya.
Deoka Bharati, 27, masih setia untuk terus kekal sebagai pelarian di Nepal, walaupun dia menyaksikan ramai rakan-rakannya berlalu pergi.
"Meskipun kami tahu bahawa peluang untuk kembali agak tipis, namun jika berada di sini sekurang-kurangnya impian untuk kembali masih ada," kata Bharati yang mengajar kanak-kanak di pekan berhampiran kem tersebut.
"Walau apa pun yang berlaku, saya tetap rakyat Bhutan. Saya tidak fikir saya akan memperoleh kehidupan yang baik di luar negara. Bhutan adalah tanah air saya. Saya membesar di sana dan saya tetap mahu kembali," tegasnya lagi. - AFP
No comments:
Post a Comment