MUZIUM kebangsaan Iraq yang mempamerkan ukiran Raja Sargon II yang memerintah negara Assyrian pada tahun 722 hingga 705 Sebelum Masihi, masih belum dibuka untuk kunjungan orang ramai.
Ia mula ditutup apabila tentera Amerika Syarikat (AS) tiba di Iraq untuk misi pengaman beberapa tahun lalu berikutan keganasan yang berlaku di kota Baghdad.
Walaupun keadaan sudah semakin pulih, namun pihak berkuasa Iraq tidak mahu mengambil risiko dan tidak akan membuka semula muzium tersebut kepada orang ramai sehinggalah tahap keselamatan benar-benar terjamin.
"Kami tidak boleh mengambil risiko dengan mempamerkan barangan lama yang berharga di muzium tersebut sehinggalah kami mendapat jaminan bahawa tahap keselamatan adalah 100 peratus stabil di Baghdad dan kawasan sekitar muzium," kata Amira Eidan, Pengarah Muzium dan Barang Antik Iraq.
Iraq merupakan rumah kepada empayar yang pernah berkembang dan jatuh sejak ribuan tahun lalu di Mesopotamia, penyangga ketamadunan antara Tigris dan Sungai Euphrates.
Salah satu koleksi terhebat dunia iaitu harta karun dan peninggalan masyarakat Mesopotamia masih tersimpan rapi sejak pencerobohan berlaku apabila jejak televisyen menunjukkan penduduk Iraq mengambil apa sahaja barang yang boleh ditemui.
"Situasi ketika itu boleh dianggap sebagai satu keadaan jenayah budaya paling teruk dalam sejarah moden," jelas Eidan.
Tentera AS yang dihantar ke Iraq sebaliknya hanya menjaga kepentingan minyak dan bukannya muzium berharga itu. Malah sebelum berlaku rampasan pada 2003, tapak bersejarah di seluruh Iraq turut dirompak.
Berdasarkan pengalaman lalu, muzium tersebut kini tidak mudah untuk dimasuki. Berpeluang melawatnya secara persendirian pada bulan lalu selepas beberapa minggu menunggu kelulusan rasmi, wartawan Reuters perlu melalui dua pemeriksaan keselamatan sebelum dibenarkan masuk.
Di bahagian luar muzium itu, terdapat meriam antik yang dilindungi corak dan tulisan Arab di bahagian dinding. Pintu masuk utama yang berdasarkan model pagar lama Babylon ditutup.
Manakala di dalamnya, hanya sebahagian daripada kandungannya dipamerkan. Banyak barang ditutupi plastik yang berhabuk. Poster yang terdapat di dinding memberi pandangan sepintas lalu terhadap harta karun yang terkunci di sebalik kubah.
Selain itu, terdapat sebuah arca raja yang memakai topi pelindung muka emas, diukir lebih kurang 4,400 tahun yang lalu. Di atas kepala sebuah arca lagi ialah tiara daripada bunga emas.
Turut terkunci dan dikawal ketat ialah pelbagai barangan kemas tinggalan Raja Namrud yang digali di utara Iraq. Ada bersamanya ialah makam Tutankhamun, yang dianggap sebagai salah satu penemuan arkeologi paling penting pada abad ke-20.
Eidan berkata, kebanyakan negara bekerjasama dalam memulangkan semula item atau barangan yang dicuri. Dia menyenaraikan semua negara-negara jiran Iraq dengan pengecualian Iran dan Turki.
"Malangnya, terdapat beberapa negara jiran hingga kini tidak memaklumkan kepada kami mengenai kes penyeludupan atau penahanan penyeludup meskipun ruang sempadan luas menghubungkan kami," tambahnya.
Antara artifak yang dikembalikan semula ialah Lady of Warka atau Mona Lisa Sumerian, sebuah ukiran batu kepala seorang wanita berusia 5,000 tahun. Ia ditemui tertanam di satu lokasi di Baghdad.
Satu sebab mengapa muzium itu masih ditutup ialah untuk membolehkan pengubahsuaian dilakukan. Kerosakan akibat bertahun-tahun dibiarkan menyebabkan kesemua 17 dewan pameran perlu diperbaiki untuk kembali digunakan.
"Pemuliharaan semula bangunan bersejarah itu telah menjadi usaha antarabangsa dan beberapa buah negara termasuk AS yang telah menyumbang wang dan kepakaran," ujar Eidan.
Sementara itu, seorang pekerja, Mariam Remzi, tidak sabar-sabar untuk menunggu saat muzium itu boleh dibuka semula kepada orang ramai.
"Sudah lama ia ditutup. Saya kini terlalu rindukan tugas sebagai juru pandu kepada pengunjung yang datang melawat muzium terutamanya pelajar dan pelancong asing," kata Mariam mengimbas kenangan sewaktu bekerja di muzium tersebut. - Reuters
No comments:
Post a Comment