BEBERAPA tahun lalu, mungkin ada antara kita masih ingat lagi perbualan seorang lelaki Somalia dengan seorang ulama dalam satu rancangan televisyen bual bicara di sebuah negara Arab yang sungguh menyentuh perasaan.
Mana tidaknya, dalam sesi bual bicara itu, lelaki berkenaan bertanya sama ada berdosakah bagi dirinya jika meninggalkan sahur dan tidak berbuka puasa pada Ramadan seperti dituntut.
Soalan lelaki itu sekali gus menyebabkan ulama berkenaan bercucuran air mata kerana mungkin belum pernah terlintas di fikirannya sebelum itu dan memandangkan Somalia adalah negara yang dikenali masyarakat dunia dengan krisis kebuluran masyarakat di sana.
Tampak beliau ikhlas mahukan jawapan mengenai soalan yang berlegar di fikiran, tetapi pada masa sama menyentap hati orang yang mendengarnya dan seharusnya membuatkan kita untuk bermuhasabah.
Tampak beliau ikhlas mahukan jawapan mengenai soalan yang berlegar di fikiran, tetapi pada masa sama menyentap hati orang yang mendengarnya dan seharusnya membuatkan kita untuk bermuhasabah.
Dalam sebuah kisah lain, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan keterangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu.
Hakim berkenaan duduk termenung menyemak pertuduhan nenek terbabit yang mempertahankan tindakannya disebabkan hidup miskin selain anak lelakinya sakit serta cucunya kelaparan.
Namun, pengurus ladang tuan punya ladang ubi berkenaan tetap tegas dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain.
Hakim menghela nafas dan berkata: “Maafkan saya, bu... saya tidak dapat membuat pengecualian undang- undang. Undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum.
“Saya mendenda anda Rupiah (Rp) 1 juta (RM350) dan jika anda tidak mampu bayar, anda harus masuk penjara selama dua setengah tahun, seperti tuntutan undang-undang.”
Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim membuka topi hakimnya, membuka dompetnya, kemudian mengambil dan meletakkan wang Rp1 juta ke dalam topinya serta berkata kepada hadirin di ruang mahkamah: “Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp50,000 (RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya.
“Saudara pendaftar, tolong kumpul denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh.”
Sebelum tukul diketuk, nenek itu mendapatkan sumbangan wang sebanyak Rp3.5 juta dan sebahagian dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya.
Setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang, termasuk wang Rp50,000 yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya.
Sejauh mana kebenaran kisah ini tidak diketahui, tetapi paling penting pengajaran yang boleh diambil daripadanya untuk kita sentiasa bermuhasabah. Bermuhasabah untuk menjadi hamba Allah yang lebih bersyukur dan tidak kufur terhadap nikmat-Nya.
Namun, di negara kita antara penyebab meriahnya Ramadan kerana kewujudan pelbagai bazar Ramadan yang boleh dianggap sebagai tapak pesta makanan yang tidak ada pada bulan lain.
Bazar Ramadan di sana sini sesak dengan pengunjung yang berpusu-pusu membeli ratusan menu disediakan.
Sebut saja masakan Melayu, Barat, Arab, Cina atau India, semuanya ada di negara kita. Alhamdulillah atas kurniaan rezeki melimpah ruah yang diberikan Allah SWT kepada kita.
Namun pada masa sama, di sebalik kesenangan yang kita kecapi, kadangkala terpalit juga rasa kurang bersyukur. Sering kita mengeluh atau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap rezeki dikurniakan.
Ada saja komen seperti tidak menepati cita rasa, kurang tepung, kurang garam dan macam-macam lagi.
Tidak kurang juga pembaziran yang berlaku terhadap lambakan makanan yang memenuhi tempat pembuangan sampah. Saya yakin Ramadan menyebabkan jumlah sampah-sarap lebih daripada bulan lain kerana pembaziran ini.
Pesta makanan diteruskan menjelang Aidilfitri. Pastinya jadual kita dipenuhi undangan rumah terbuka daripada sanak saudara dan rakan taulan.
Sehingga kadangkala terkeliru adakah kita lari daripada prinsip kehidupan yang sepatutnya ada dalam diri kita iaitu ‘makan untuk hidup’, atau sebaliknya kita lebih terarah kepada ‘hidup untuk makan’.
Pada saat kita menikmati ayam percik, nasi ayam, nasi beriani dan macam-macam lagi, ada yang hanya berbuka puasa dengan meminum air di lopak jalanan.
Tidak kurang juga ada manusia hanya mampu menyuapkan pasir ke dalam perut mereka sebagai syarat memenuhi tuntutan lapar yang dirasa.
Ketika kita bermewah-mewah mengambil pelbagai makanan dan meletakkannya ke dalam pinggan yang akhirnya terbuang begitu saja, ada manusia hanya mampu mengintai dari luar restoran sambil menelan air liur dan menjadi saksi kepada pembaziran kita.
Tidak kurang juga menjadi penunggu tempat pembuangan sampah di belakang restoran untuk ‘menikmati’ sisa makanan yang kita buang.
Kadangkala kita terlalu berkira untuk melakukan sedekah kerana khuatir simpanan harta kita akan berkurangan. Maka cukuplah RM1 diletakkan ke dalam tabung masjid. Bukankah paling penting adalah sifat keikhlasan?
Namun pada masa sama, berapa banyak kita bazirkan melalui pembuangan makanan yang berlebihan? Satu fakta yang saya peroleh daripada sebuah majalah menyatakan, sebanyak 1.8 juta tan sampah dibuang oleh rakyat Malaysia dalam setahun atau secara puratanya 1.3 kilogram bagi setiap penduduk negara ini.
Daripada anggaran 20,000 tan sisa pepejal yang dibuang setiap hari, 45 peratus daripadanya adalah sisa makanan.
Betapa kita rakyat Malaysia kaya dengan makanan hinggakan tong sampah di rumah kita juga ‘kenyang’ dengan pelbagai sisa makanan.
Bersempena Ramadan yang mulia ini, marilah kita merenung kembali sejauh mana kita kufur nikmat Allah dalam keadaan tidak menyedari kelalaian itu.
Ketika memilih untuk membuang sesuatu makanan, fikir dan ingat betapa masih ramai di luar sana yang berjuang untuk sesuap nasi demi sebuah kehidupan.
No comments:
Post a Comment