BARU-BARU ini, saya bermalam di sebuah hotel setelah penat menghadiri sebuah undangan program. Apabila saya membuka laci dalam bilik hotel itu, saya mendapati sebuah buku bible disediakan di setiap bilik untuk pengunjung hotel.
Dalam hati saya terdetik, mengapa bible yang disediakan tetapi tidak al-Quran? Saya sering ditanya mengenai al-Quran, ada yang meragui kebenarannya, ada juga yang menyalah tafsirkannya. Nampaknya, masih ramai umat Islam, khususnya di negara kita, masih meragui kebenaran al-Quran.
Kebetulan peristiwa yang saya alami berlaku pada minggu berlangsungnya Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2012. Syabas dan tahniah saya ucapkan buat semua qari dan qariah yang sama-sama memartabatkan al-Quran.
Menyentuh hal al-Quran, dalam artikel kali ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai mukjizat al-Quran dan fokus saya pada ‘mukjizat bahasa’ yang terkandung di dalamnya.
Kebesaran kitab suci al-Quran tidak dapat disangkal lagi oleh orang yang mengetahui keajaibannya. Namun, bagi seseorang yang berakal, belum tentu mereka mengetahui mukjizat terbesar al-Quran yang kekal sepanjang zaman.
Banyak sejarah menceritakan mengenai umat terdahulu yang berakal tetapi tidak mahu menggunakannya untuk berfikir.
Apabila berfikir, ramai menolak kebenaran disebabkan oleh kebodohan dan ketaksuban terhadap agama nenek moyang mereka. Pada hal hakikatnya, akal mereka mengetahui kebenaran sebenar al-Quran.
Di dalam kitab suci al-Quran, Allah menyebut perihal orang yang berakal dan orang yang mengetahui. Orang yang berakal Allah menggunakan bahasa iaitu ‘Ya’qilun’ manakala orang yang mengetahui pula ialah ‘Ya’lamun’.
Di sini, wujud perbezaan di antara orang berakal dan orang yang mengetahui. Hal ini dinyatakan Allah SWT dalam firmannya menerusi surah Al-Baqarah, ayat 170, yang bermaksud: “... biarpun mereka sedikitpun tidak mengerti dan tidak mendapat petunjuk.” Kalimah ‘tidak mengerti’ dalam ayat ini adalah terjemahan kepada kalimah ‘laa ya’qilun’.
Dalam surah al-Maidah, ayat 104, Allah SWT berfirman: “... biarpun mereka sedikitpun tidak mengerti dan tidak mendapat petunjuk.” Dalam ayat ini, Allah SWT guna kalimah ‘laa ya’lamun’ yang membawa maksud ‘tidak mengetahui’.
Di sini kita dapat lihat perbezaan di antara kedua-duanya. Hal ini menimbulkan banyak persoalan di kalangan orientalis yang mengatakan kedua-dua kalimah ‘ya’qilun’ dan ‘ya’lamun’ adalah sama maksudnya.
Ilmu dan akal, atau akal dan ilmu itu, adalah satu. Orang yang berakal ialah orang yang mengetahui atau orang yang dapat menerima ilmu. Sebab itu bagi mereka, maknanya sama saja.
Namun, Kalamullah tidak ada tandingannya, para orientalis tidak beriman pada al-Quran, bagaimana mereka dapat berhujah berkenaan al-Quran? Jika mereka dapat berhujah dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan akal semata-mata, pasti mereka akan beriman dengan al-Quran.
Jika diteliti kedua-dua ayat ini, kalimah ‘ya’qilun’ digunakan sebagai menyatakan mereka (orang musyrik) menafikan kebenaran disebabkan mereka pada hakikatnya mempunyai akal tetapi belum tahu apa-apa mengenai Allah yang satu, sebab itu mereka menolak apa dibawa Nabi Muhammad SAW.
Pada ayat yang menggunakan kalimah ‘ya’lamun’, di sini menceritakan bahawasanya mereka berakal, kemudian mereka mengetahui kebenaran tetapi masih bersikap bodoh dengan pengetahuan mereka, sebab itu mereka tidak diberikan hidayah atau petunjuk.
Hal ini dijelaskan dalam penulisan Sheikh Mutawalli Sya’rawi dalam kitabnya yang bertajuk Mukjizat Al-Quran.
Bahasa al-Quran memang tiada tandingan. ‘Balaghah’ atau kesasteraan al-Quran amat halus dan luar biasa hinggakan tiada seorangpun dapat menandinginya, walaupun penyair tersohor di dunia.
Cuba kita bawa seorang penyair Arab terhebat dan memintanya membina sebuah syair (pantun atau sajak) paling hebat daripada akalnya sebagai menandingi surah al-Fatihah sehingga tidak terlawan oleh penyair handalan lain.
Kemudian kita gunakan syair Arab itu dalam solat kita sebagai menggantikan surah al-Fatihah, apakah syair hebat itu dapat menandingi kehebatan Kalamullah surah al-Fatihah yang hanya tujuh ayat? Saya yakin hanya beberapa kali ulangan syair itu, sudah pasti jemu mengulanginya, bahkan mungkin ada yang berkata; “syair apakah ini?” Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Yaasiin ayat 69, bermaksud: “Kami tiada mengajarkan syair (pantun) kepadanya (Muhammad), dan syair itu tiada patut baginya. Dia tidak lain, hanya peringatan dan Quran yang terang.” Cuba kita tanya diri kita, berapa kali kita membaca surah al-Fatihah dalam solat dan di luar solat? Pernahkah kita jemu mengulanginya, pernahkah kita merasai sesuatu yang tidak kena pada ayat dalam surah al-Fatihah? Cukup indah susunan ayatnya. Ayatnya ringkas tetapi maksudnya memerlukan penafsiran panjang lebar.
Sehingga ke hari ini ramai mendalami surah al-Fatihah daripada sudut balaghah, bahasa, penafsiran dan lain-lain yang bersangkutan dengan surah al-Fatihah itu sendiri, walhal ayatnya hanya tujuh.
Walaupun tujuh ayat, masih ramai salah dalam melafazkan ayatnya hingga terpaksa belajar ‘alif-ba-ta’ semula kerana mahu menyebut Kalamullah dalam surah al-Fatihah dengan mengikut seperti bacaan Rasulullah SAW. Hanya tujuh ayat tetapi pelbagai ragam bacaannya.
Cuba kita renungkan kehebatan al-Quran, saya yakin dan pasti jika manusia menggunakan hati dalam memahami al-Quran, pasti ramai akan memeluk agama Islam.
Kebanyakan manusia yang menolak al-Quran disebabkan keegoan mereka yang dipimpin oleh akal serta nafsu semata-mata. Biarlah hati yang menentukan, jangan dibiarkan akal dan nafsu yang menentukan.
Baru-baru ini juga, saya bersembang dengan seorang hamba Allah yang pernah bertugas di Belgium, Britain dan banyak negara lain.
Dia mengatakan bahawa pada pemerhatiannya, ramai memeluk Islam di Belgium, begitu juga di United Kingdom hinggakan beberapa gereja dijadikan masjid gara-gara ramai penganut agama Kristian mulai celik hati mereka dalam memahami wahyu Allah SWT, lantas membawa mereka kepada agama Islam.
Tambahnya, mereka hanya mengkaji surah Al-Ikhlas yang mengandungi empat potong ayat saja tetapi ia berjaya menjawab persoalan ketuhanan yang bermain di fikiran mereka selama ini. Subahanallah, maha hebat bahasa yang digunakan Allah SWT!
No comments:
Post a Comment