KEUNIKAN Tasik Kenyir tidak hanya terletak pada tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ini sahaja. Malah, resort yang terletak di dalam kawasan itu juga ada tarikan tersendiri.
Bertaraf empat bintang, ia boleh menjadi lokasi ideal buat seisi keluarga yang ingin bercuti, mahupun kepada kaki pancing yang ingin mencuba nasib di tasik tersebut.
Dikelilingi oleh 340 buah pulau, resort itu menyediakan pelbagai aktiviti darat mahupun air yang pasti mencabar kekuatan mental dan fizikal anda.
Jangan buang masa apabila berada di sana. Sambil menikmati ketenangan, dapatkan bot untuk singgah ke beberapa lokasi menarik berhampiran.
Terletak 60 kilometer dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu, Tasik Kenyir Resort & SPA juga terletak dekat dengan Pangkalan Gawi.
Sementara itu, tidak lengkap andainya sebuah resort bertaraf empat bintang tidak mempunyai kolam renang dan restoran. Restoran Tembat pastinya menggamit para pengunjung menikmati hidangan sama ada untuk sarapan, makan tengah hari atau makan malam.
Restoran itu menawarkan pemandangan mengasyikkan dengan tasik yang luas serta kolam renang yang dikelilingi tumbuhan hijau. Udaranya juga segar.
Tidak ketinggalan, resort itu juga menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelanggan yang ingin menjalankan urusan perniagaan. Selain itu, bilik-bilik mesyuarat dan pusat media yang ada memudahkan urusan mereka yang memerlukannya.
Bagi yang penat dan ingin meregangkan urat-urat yang tegang, singgah sahaja ke spa Ulik Mayang yang menyediakan pelbagai perkhidmatan.
Pastinya di sini, anda tidak perlu merasa penat untuk ke lobi kerana buggy menjadi 'kaki' untuk anda ke mana-mana di dalam kawasan resort. Baik pagi mahupun tengah malam, mereka sedia memberikan perkhidmatan kepada para tetamu resort.
Sementara calet pula dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan. Resort itu menawarkan sebanyak 150 buah calet yang terdiri daripada kategori superior, deluxe, executive suite dan Kenyir suite.
Apabila tingkap dibuka, pemandangan yang terpampang di hadapan mata adalah panorama tasik dengan bot-bot kecil sibuk melayan kaki-kaki pancing.
No comments:
Post a Comment