TATARIAS ruang pejabat semakin hari semakin menjauhi konsep pejabat yang tradisional.
"Konsep pejabat tradisional bermaksud ia mempunyai formaliti yang tinggi.
"Sekali gus ini bermakna warna, potongan dan susun atur perabot lebih matang atau serius," jelas Pengarah Urusan Timeless Design Sdn. Bhd., Jessie Ng.
Menjenguk ruang pejabat Google.com atau Yahoo.com misalnya, jelas menunjukkan perubahan yang amat ketara itu.
Pembaharuan melalui pendekatan minimalis moden masa depan yang dimulakan mengejutkan banyak pihak, malah turut menjadi ikutan.
"Kebanyakan pejabat untuk syarikat teknologi maklumat kerap menggunakan konsep santai.
Berkubik
"Pendek kata, mereka mahu menyuntik keseronokan dalam suasana kerja. Jadi warna-warna terang, riang dan potongan perabot yang tidak simetri menjadi pilihan," ujar Jessie.
Mengimport dan menempah khusus perabot dari negara-negara Asia Tenggara selain China, Timeless Design turut memenuhi permintaan daripada syarikat gergasi seperti Petronas, British Petroleum (BP), dan Bloomberg Malaysia.
"Syarikat-syarikat sederhana kecil (SME) juga semakin peka terhadap cara ruang pejabat mereka dihias.
"Ini menunjukkan mereka sudah sedar kepentingan suasana sesebuah pejabat, terutama dalam usaha untuk memberikan atmosfera yang berbeza," katanya.
Berpengalaman selama lebih 15 tahun dalam industri perabot dan pernah memegang jawatan Pengurus Pemerolehan untuk Homelife, Jessie melihat perkembangan rekaan perabot Eropah menggambarkan pengaruh gaya hidup berteknologi yang kuat.
"Di Eropah semakin banyak perabot berkubik seperti Alexa Single Seater ini.
"Sofa ini bukan sahaja sesuai untuk mereka yang banyak menghabiskan masa di depan komputer riba, tetapi juga buat mereka yang perlu bermesyuarat dengan bilangan peserta yang kecil," terang Jessie.
Evolusi itu secara tidak langsung membolehkan masa digunakan secara efektif walaupun mereka perlu berbincang di luar bilik mesyuarat.
Sentiasa mempertimbangkan unsur moden, perabot yang memenuhi konsep pejabat tradisional juga terus diimport Timeless Design.
Kurus
"Walaupun tradisional, ia tetap ada unsur moden. Contohnya, potongan yang lebih kurus atau tirus seperti pada tempat bersandar kerusi Dallas High Back putih ini," cadangnya yang sentiasa mencari perabot yang tidak luput ditelan masa sama ada dari segi kualiti material ataupun rekaan.
Perabot Timeless Design, kata Jessie, menepati namanya.
"Seperti 'banker light' yang selalu dapat dilihat dalam filem Inggeris lama ini amat sukar ditemui di Malaysia walaupun permintaan untuknya pada hari ini amat tinggi.
"Rekaannya mungkin lama, tetapi ia dimodenkan dengan perubahan warna dan material," jelas Jessie.
Malah, jika diperhatikan sarung kerusi, kusyen atau permaidani dibiarkan polos tanpa cetakan corak. Sebaliknya hanya corak abstrak yang ringkas dan mudah sahaja menepati pilihan.
Dari aspek ketahanan, pembuatan setiap perabot masih mematuhi keperluan ruang pejabat yang lazim.
"Saya tidak fikir perabot yang memiliki gaya moden lebih cepat rosak. Saya yakin kualiti materialnya masih sama seperti dahulu," kata Jessie.
No comments:
Post a Comment