Seminar Hartanah

Bisnes Import Dari China

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-Commerce
Selamat Datang Ke blog TeRsEbUt AL-KiSaH

Followers

Pages

Monday, October 8, 2012

Fenomena Gangnam..Baik atau Buruk?


MUKTAHIR ini, masyarakat dunia dilanda fenomena lagu dan tarian dari Korea Selatan yang diberi jolokan nama ‘Gangnam Style’. Tidak ketinggalan, fenomena ini turut ‘merasuk’ masyarakat di negara kita, khususnya di kalangan muda-mudi.
Kehebatan ‘Gangnam Style’ ini dapat dibuktikan apabila video tarian yang dimuat naik di laman YouTube berjaya menarik hampir 100 juta tontonan masyarakat di seluruh dunia. Jumlah yang hampir menyamai kira-kira empat kali ganda jumlah penduduk di negara ini. 
Kehebatan Gangnam mencetuskan pelbagai video ‘parody’, termasuk dari Malaysia turut dimuat naik di YouTube. Video-video itu berjaya menarik ratusan ribu atau jutaan penonton.

Justeru tidak dapat dinafikan betapa idea kreatif yang diilhamkan oleh penyanyi rap Korea Selatan dikenali sebagai PSY ini berjaya mencetuskan satu fenomena baru kepada dunia.

Tidak kurang juga ada yang kurang senang dengan kewujudan trend Gangnam ini yang didakwa sedikit sebanyak berunsur lucah serta tidak sesuai ditonton oleh kita sebagai orang Muslim.

Apapun pandangan, ada kebenarannya. Jika dari sudut negatif klip video ini menampilkan gadis Korea berseluar pendek menari lincah yang kurang sesuai ditonton oleh umat Islam.

Tetapi, itulah antara petanda akhir zaman apabila wanita yang menari di khalayak ramai dirasakan satu perkara biasa. Malah orang yang beranggapan pelik itu pula yang dipandang jumud oleh kebanyakan anggota masyarakat.

Namun, idea dicetuskan oleh PSY ini sewajarnya juga dilihat dari perspektif positif. Bukan niat saya menyokong fenomena Gangnam ini, sebaliknya saya berpendapat ada sesuatu yang patut kita pelajari terutama untuk menarik minat jutaan masyarakat dunia ini.

Ada yang mengatakan tarian ini sesuai untuk dijadikan sebagai satu rutin baru senaman. Terpulanglah kepada anda sama ada sedia atau tidak untuk bersenam umpama ‘kuda’ yang sedang berlari dan pastinya mampu menarik minat orang di taman rekreasi untuk melihat anda bersenam.

Tetapi, kesan daripada fenomena ini sebenarnya adalah bagaimana kesungguhan rakyat Korea itu dalam usaha membuka mata masyarakat dunia untuk memandang ke arah mereka.

Pada pandangan saya, usaha ini memang memperlihatkan hasilnya saban hari.

Sebelum ini, fenomena terhadap Korea tercetus apabila tersiarnya drama bersiri Winter Sonata yang pastinya menjadi antara drama terkenal negara itu.

Selepas itu pula, dunia hiburan mereka terus mencetuskan fenomena kepada dunia apabila memperkenalkan tarian daripada kumpulan penyanyi K-pop yang turut menjadi kegilaan remaja seluruh dunia.

Malah, dalam bidang sukan pula, pasukan bola sepak mereka sudah terkenal sebagai antara kuasa besar di Asia yang mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa hinggakan ada kelab bola sepak di Eropah turut mengikat mereka sebagai pemain.

Selain itu, Korea juga tampil hebat apabila mampu menghasilkan kereta yang setanding jenama besar di dunia bukan setakat pada aspek reka bentuk terkini malahn juga keberkesanan enjin berteknologi tinggi.

Inovasi dalam bidang automotif ini menaikkan jenama kereta mereka seperti Kia dan Hyundai sekali gus cukup menimbulkan kegusaran kepada gergasi pengeluar kenderaan dari Jepun seperti Toyota dan Honda.

Di segi telekomunikasi pula, mereka kini semakin dikenali melalui pengeluaran gajet, telefon pintar dan tablet atas jenama Samsung yang mampu menimbulkan rasa gentar terhadap seteru utamanya daripada syarikat Apple yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Biarpun baru disaman berbilion ringgit, Samsung sama sekali tidak dilihat gentar malah terus menghasilkan pelbagai gajet canggih yang membantu mengembangkan minda masyarakat dunia.

Ketika Amerika Syarikat serta negara Eropah lain mendabik dada menobatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia, Korea Selatan tampil meneruskan tradisi negara Jepun yang memperjuangkan bahasa mereka sendiri.

Walaupun tidak menguasai bahasa Inggeris, ia sama sekali tidak mendatangkan masalah untuk menarik minat pelancong luar yang berbondong-bondong melawat Seoul serta Pulau Jeju atas keberanian mereka memperkenalkan negara mereka melalui lagu, drama dan teknologi.

Di negara kita, mereka juga mempunyai ‘bandar’ sendiri yang digelar secara tidak rasmi sebagai ‘Korean Town’ terletak di sekitar Kuala Lumpur. Kemampuan mereka untuk mewujudkan satu komuniti di sebuah negara asing yang bertutur bahasa asing sememangnya patut dicemburui.

Jika kita imbas sejarah, Korea Selatan 50 tahun dulu cumalah sebuah negara dunia ketiga.

Bagaimanapun, sekitar lewat 1980-an, mereka mula membina tapak untuk menonjolkan identiti Korea dan cekal bangun walaupun ada usaha-usaha berkenaan menemui kegagalan.

Mereka tidak pernah kekeringan idea kreatif yang dapat menarik perhatian masyarakat dunia. Saya juga percaya betapa fenomena Gangnam ini juga bakal membuatkan masyarakat dunia ingin tahu tentang masyarakat Korea dengan lebih mendalam lagi.

Sewajarnya, sempena sambutan kemerdekaan Malaysia, baru-baru ini, kita membuka mata dan mempelajari sesuatu daripada semangat orang Korea Selatan ini.

Kita tidak sepatutnya berasa rendah diri apabila menuturkan bahasa ibunda di majlis rasmi dan tidak perlu cepat melatah dengan terikut-ikut budaya asing tidak kira dari segi fesyen, gaya dan sebagainya.

Selagi mana kita mudah terpengaruh dengan budaya asing dan rasa malu untuk memperjuangkan budaya kita, selagi itulah kita tidak beridentiti.

Namun dalam usaha memartabatkan budaya, jangan sesekali meminggirkan agama.

Sambutan perayaan seperti kemerdekaan dan tahun baru pada setiap tahun sering kali mengundang masalah sosial.

Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa batasan pada malam perayaan seperti itu mengundang bala dan kemurkaan Allah apabila indeks kes pembuangan bayi dan kelahiran anak luar nikah tidak pernah mencatatkan penurunan.

Semangat ‘wasatiah’ yang dilaungkan sewajarnya perlu difahami dan bukan hanya sekadar slogan.

Pembangunan sosial dan infrastruktur perlu seiring dengan agama agar kita tidak lari landasan yang sebenarnya. Islam sama sekali tidak menentang arus kemodenan, tetapi jangan sesekali membelakangkan syariat yang telah diturunkan..

No comments:

Dapatkan segera!!!

Preview Video Borong Murah di CHINA!

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-commerce