Seminar Hartanah

Bisnes Import Dari China

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-Commerce
Selamat Datang Ke blog TeRsEbUt AL-KiSaH

Followers

Pages

Monday, October 22, 2012

Mesej sayangi haiwan





SAMBIL tangannya melayar berus lukisan di dada kanvas, dia terpaku menatap satu persatu subjek yang cuba diterjemahkan menerusi kombinasi warna-warna alam yang hakikatnya menjadi antara kaedah utama dalam menyampaikan maksud tersirat daripada persepsi penglihatan manusia.
Kreativiti pelukis muda, Mohd Rizq Fawwaz Mat Razak, 18, dalam menginterpretasikan ilham seni lukisan berkonsepkan toyism dengan makna yang tersendiri itu ternyata tidak boleh dipertikaikan lagi.
Tekun menyelitkan unsur-unsur kehidupan haiwan dalam persekitaran semula jadi seperti gunung-ganang, pokok dan bangunan pencakar langit, ia jelas menterjemahkan harapan sekumpulan habitat yang memerlukan sokongan dan perlindungan sewajarnya.
Menurut laman web, www.toyism.com, istilah toyism merupakan satu perkembangan seni yang semakin meningkat di Belanda sejak tahun 1992. Seni lukisan itu telah diperkenalkan oleh seorang artis yang menggunakan nama penanya sebagai Dejo di Veenmuseum pada tahun 1993.
Stail lukisannya pula diterjemahkan dengan penuh imaginasi atau bersifat kiasan dan bukannya suatu objek abstrak yang memfokuskan aspek kehidupan alam dan manusia semata-mata.
Uniknya, manifesto lukisan tersebut lebih mendominasikan garis panduan seperti warna yang kontras dan luahan kreativiti pelukis. Kebiasaannya, artis akan memilih satu ikon untuk diluahkan ke dalam seni lukisan toyism mereka.
Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini pula, beliau memilih seni karya toyism kerana minatnya yang terlalu mendalam terhadap subjek yang bermotifkan haiwan, sejak di bangku sekolah rendah lagi.


Justeru, katanya, hasil rujukan daripada buku dan bahan internet, beliau mengambil pendekatan untuk mempelajari teknik lukisan dan cara persembahannya di atas kertas, dengan bantuan bapanya yang merupakan seorang pelukis seni abstrak dan potret, Mat Razak Ismail.
"Memandangkan saya dilahirkan dalam kelompok pencinta seni, ia sekali gus membuatkan diri saya begitu berminat untuk mempelajari selok-belok seni lukisan sejak berusia 10 tahun.
"Malah, berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak pernah berasa diri kekurangan dari segi pemahaman mahupun pendidikan asas seni lukis.
"Ini kerana, sejak dari dahulu lagi, semua ahli keluarga termasuk pak cik dan mak cik telah banyak memberi sokongan terhadap teknik penghasilan lukisan ini," katanya tatkala diminta mengimbas semula detik awal penglibatannya.
Bercerita lanjut mengenai kenangan zaman kanak-kanak yang begitu menggemari seni lukisan, beliau berkata: "Masih jelas di ingatan saya sewaktu di dalam kelas darjah tiga. Ketika itu, saya diberi tugasan oleh guru sejarah supaya melukis gambar seorang jeneral tentera laut Portugis tersohor yang membantu mengasaskan empayar penjajah Portugal di Lautan Hindi, Alfonso de Albuquerque.
"Saya berjaya menghasilkan wajah yang seakan Alfonso dalam bentuk hitam putih. Sebelum itu, ramai rakan-rakan dan guru kelas tidak mempercayai kebolehan saya. Namun, selepas melihatnya sendiri dengan mata kasar, barulah mereka mengakui bakat saya," katanya sambil menguntum senyuman.
NIAT Mohd Rizq ialah untuk memberi kesan kepada persepsi manusia terhadap alam haiwan.


Ditanya mengenai pemilihan haiwan dalam hasil seni karya toyism, jelas Rizq, beliau memilih haiwan kerana ia mempunyai hubungkait dengan rutin kehidupan hariannya, selain dijadikan medium mengekspresi kehidupan alam dan manusia.
"Setiap kali pulang dari tempat kerja dengan menaiki bas, bola mata saya tidak pernah terlepas pandang melihat haiwan-haiwan peliharaan yang terbiar. Ini memberi inspirasi kepada saya untuk mencurahkan idea itu di atas kanvas.
"Ia bukan sekadar lukisan yang ringkas dengan subjek-subjek sekumpulan binatang, tetapi ia turut memberi ketenangan jiwa kepada diri pengkarya dan mata umum yang melihatnya.
"Adalah menjadi niat saya untuk menghasilkan seni karya yang boleh memberi kesan kepada persepsi manusia. Bagi saya, manusia mempunyai keazaman yang sangat kompleks dan rumit apabila berdepan dengan saat kritikal pemikiran mereka," kata Rizq.
Antara subjek yang banyak diilhamkan Rizq dalam karya toyism itu termasuklah bukit-bukau, rumah, ayam, burung, gajah, singa, kucing dan sebagainya.
Ditanya tentang pemahaman seni toyism yang dihasilkan, katanya, setiap lukisan yang diluahkannya itu mempunyai mesej dan identiti tersendiri.
SETIAP lukisan yang diluahkannya mempunyai mesej dan identiti tersendiri.


"Subjek binatang menunjukkan kepada umum tentang satu keharmonian di antara alam dan kehidupan haiwan yang terpaksa berteduh di bawah satu tempat, gara-gara kesempitan ruang habitat semula jadi.
"Banyak hasil kerja saya bermain dengan situasi haiwan dan alam seperti binatang dan kehidupan kini. Pada asasnya, menjadi kesungguhan saya untuk mengukuhkan hubungan kompleks manusia dan alam semula jadi," ujarnya ketika berbicara tentang idea seninya.
Objektif menyampaikan mesej berunsurkan haiwan itu jelasnya, adalah untuk mendedahkan kepada orang ramai tentang masa depan habitat alam, selain penggunaan warna sebagai hiasan.
Di samping itu juga, katanya, lukisan yang dihasilkannya itu dapat memupuk kasih sayang kanak-kanak agar menyayangi binatang, sekali gus berpeluang memulihara alam persekitaran.
GAYA dan bentuk lukisan membezakan keupayaan dan kreativiti seorang pelukis.


"Bagi saya, lukisan toyism ini lebih menjurus kepada seni dekoratif yang bersifatkan sayangi haiwan peliharaan, dan ia bersesuaian dengan cita rasa dan tahap pemikiran kanak-kanak mahupun dewasa.
"Tidak dinafikan, setiap pelukis mempunyai identiti lukisan tersendiri dalam menghasilkan seni karya yang diketengahkan mereka.
"Melihat hasil lukisan saya ini, tiada seekor pun haiwan yang dilukis mempunyai sepasang anggota kaki. Mungkin ramai yang mempertikaikan bentuknya. Tetapi bagi saya, ia merupakan identiti lukisan saya yang sebenar. Ia sekali gus membolehkan orang ramai mengenali diri saya menerusi lukisan yang dihasilkan," ceritanya sambil menuding jari ke arah setiap subjek lukisannya itu.
Tambah Rizq, gaya dan bentuk lukisan itulah yang membezakan keupayaan dan kreativiti seseorang pelukis serta perbezaan pemahaman mereka.
Malah sehingga kini, kreativiti Rizq dalam menginterpretasikan ilhamnya di atas kanvas mendapat pengiktirafan daripada peminat seni luar negara.
HAIWAN yang dilukis tidak mempunyai kaki menjadi identiti lukisan Mohd Rizq.

No comments:

Dapatkan segera!!!

Preview Video Borong Murah di CHINA!

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-commerce