Seminar Hartanah

Bisnes Import Dari China

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-Commerce
Selamat Datang Ke blog TeRsEbUt AL-KiSaH

Followers

Pages

Tuesday, October 30, 2012

Umpama hukuman mati


UNICEF melaporkan masalah malnutrisi di Guatemala adalah yang paling teruk berbanding Afrika.

GUATEMALA mempunyai kadar malnutrisi tertinggi di Latin Amerika.


SEBUAH ambulans berhenti di bahu jalan. Jalan yang berliku-liku itu menghala ke sebuah perkampungan terpencil di Guatemala, Shumpa. Misi sekumpulan pakar perubatan profesional itu adalah untuk menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang sedang mengalami masalah malnutrisi.
Celi Aldana hanyalah salah seorang daripada separuh populasi kanak-kanak Guatemala berusia kurang lima tahun dan menderita masalah malnutrisi kronik. Malnutrisi kronik boleh membahayakan perkembangan mental dan fizikal seorang kanak-kanak. Ini sekali gus memberi ancaman besar kepada masa hadapan sesebuah negara.
Ambulans tersebut disumbangkan oleh negara Jepun untuk memudahkan kerja-kerja memindahkan pesakit di perkampungan terpencil itu.



Seorang penduduk kampung, Maria Santos yang merupakan pekerja sosial terlatih untuk Pejabat Wanita Nasional di Camotan juga mengenali Celi. Celi merupakan salah seorang daripada 11 anak Cornelia gutierrez, 42, yang menunjukkan simptom-simptom malnutrisi.
Celi yang kelihatan penat dan abangnya, Bibiano, tiga tahun, dilihat bermain riang dengan sekumpulan haiwan ternakan.

KESAN malnutrisi terhadap tumbesaran seseorang kanak-kanak seakan satu hukuman mati.


Dua ekor lembu, beberapa ekor ayam dan anjing kurus kering menjadi peneman kanak-kanak yang sedang bergelut dengan masalah malnutrisi ini.
Di dalam rumah tanpa bekalan elektrik, si ibu sedang menjaga anak bongsunya yang hanya berusia beberapa hari. Cornelia jelas bimbang akan keadaan Celi yang dikatakan baru kali pertama berdepan dengan situasi seperti ini.
“Celi telah sakit sejak tiga bulan lepas. Kali terakhir saya membawanya ke klinik di Camotan, doktor hanya memberitahu, oleh kerana kami mempunyai terlalu ramai anak, maka kesemuanya mengalami masalah malnutrisi,” jelasnya.
Santos kemudiannya menggesa Cornelia agar membenarkan anaknya dibawa ke pusat pemulihan nutrisi di Jocotan, sebuah pekan berdekatan dengan Camotan.

BETAPA berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.


Namun, Cornelia mengambil masa yang lama untuk ‘meluluskan’ permintaan itu. Semuanya gara-gara keputusan yang perlu dibuat oleh si suami dan bukannya isteri.
Seorang doktor yang ditempatkan di pusat pemulihan nutrisi itu, Juan Manuel Mejia berkata, situasi Cornelia sesungguhnya bukan sesuatu yang luar biasa.
“Kebanyakan ibu di sini sukar meninggalkan keluarga, suami, rumah mahupun anak-anak yang lain demi menemani seorang anak yang telah kesakitan ke pusat kesihatan.
“Lagipun, kesan egoistik kaum lelaki tidak membenarkan wanita membuat keputusan mereka sendiri. Begitu juga dalam kes Cornelia,” katanya.

KEMARAU, kualiti tanah dan kadar pendapatan petani menentukan lagi masalah malnutrisi di Guatemala.


Malah, kesan macho turut jelas kelihatan sewaktu hidangan disajikan.
“Mula-mula, yang bergelar bapa akan dihidangkan dengan makanan sebaik sahaja balik dari tempat kerja, kemudian diikuti oleh anak lelaki dan akhirnya anak perempuan serta ibu akan duduk menjamu selera,” jelasnya.
Menurut tabung kebajikan kanak-kanak, UNICEF, Guatemala mempunyai kadar malnutrisi tertinggi di Amerika Latin. Dalam konteks dunia pula, Guatemala menduduki tempat keenam dari aspek malnutrisi kronik. Lebih daripada sejuta kanak-kanak berusia di bawah lima tahun yang menderita masalah malnutrisi kronik.
Di Chiquimula misalnya, kes malnutrisinya mencetuskan tajuk-tajuk utama dalam akhbar antarabangsa pada tahun 2002. Semuanya berlaku akibat kekurangan makanan yang menerukkan lagi keadaan sedia ada. Di perkampungan yang terletak berdekatan Camotan dan Jocotan, hampir 25 peratus daripada kanak-kanaknya mengalami malnutrisi.
Faktor penyumbang kepada masalah ini adalah berbeza-beza. Kemarau, kualiti tanah dan kadar pendapatan petani yang teruk turut menjurus kepada masalah kemarau.
Masalah kemarau yang melanda bahagian timur Guatemala dan kejatuhan produksi kopi telah mengakibatkan hampir 190,000 penduduknya menganggur sekitar tahun 2000 dan 2001.

KESAN malnutrisi terhadap tumbesaran seseorang kanak-kanak seakan satu hukuman mati.


Krisis tersebut memburukkan lagi masalah malnutrisi. Menurut Organisasi Pertanian dan Makanan (FAO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 22 peratus daripada populasi Guatemala tidak memperoleh nutrien yang mencukupi.
Keadaannya lebih teruk di kalangan masyarakat pribumi. Sebanyak 70 peratus kanak-kanak pribumi menderita masalah malnutrisi.
UNICEF melaporkan masalah malnutrisi di Guatemala adalah yang paling teruk berbanding Afrika yang hanya mencatatkan purata 35.2 peratus populasi yang dilanda malnutrisi.
Wakil UNICEF di Guatemala, Manuel Manrique berkata, kesan malnutrisi terhadap tumbesaran seseorang kanak-kanak seakan satu ‘hukuman mati’.
“Ini kerana malnutrisi boleh menjejaskan kesihatan, tumbesaran serta keupayaan mereka untuk belajar,” katanya.
Biar pun lebih daripada 60 peratus keluarga di Guatemala gagal memperoleh diet yang sepatutnya, penduduk kawasan terpencil masih mengalami kesukaran mendapatkan khidmat kesihatan, bekalan air bersih dan pendidikan sewajarnya. – AFP

No comments:

Dapatkan segera!!!

Preview Video Borong Murah di CHINA!

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-commerce