Tidak ramai yang sedar bahawa diabetis mellitus boleh menjurus kepada penyakit jantung terutamanya penyakit jantung koronari.

PENGHIDAP diabetes mempunyai tiga kali ganda risiko untuk mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang sihat.
JIKA kita bertanya saudara-mara mahupun sahabat handai, bukanlah menghairankan pada hari ini kita akan berdepan dengan sekurang-kurang dua atau tiga orang yang menghidap penyakit diabetis mellitus. Malahan mungkin anda adalah seorang pesakit diabetis mellitus.
Berdasarkan bancian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2006 yang melibatkan hampir 40,000 penduduk di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, hampir 15 peratus orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetis mellitus.
Ini merupakan satu peningkatan yang mendadak berbanding dengan bancian yang sama 10 tahun yang lalu (1996) dimana hanya 8.3 peratus sahaja yang menghidap diabetis mellitus.
Maknanya, setiap seorang daripada tujuh orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetis. Yang lebih merisaukan ialah hampir separuh daripada jumlah tersebut tidak sedar yang mereka mempunyai penyakit diabetis.
Peningkatan yang tinggi ini disebabkan oleh beberapa faktor yang ketara. Antaranya termasuk penambahan kalori akibat makan berlebihan dan pengurangan aktiviti fizikal.
Bancian yang sama juga mendapati hampir 44 peratus penduduk dewasa negara ini mempunyai masalah berat badan yang berlebihan dan obesiti. Semestinya berat badan yang berlebihan menjurus kepada pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit diabetis mellitus.
Kaitan antara diabetis melitus dan penyakit jantung
Penyakit diabetis sering dikaitkan dengan masalah jangkitan kuman hingga mengakibatkan kaki seseorang itu dipotong. Tidak ramai yang sedar bahawa diabetis mellitus boleh menjurus kepada penyakit jantung terutamanya penyakit jantung koronari.
Penyakit jantung koronari merupakan penyebab utama kematian di Malaysia, terutamanya di kalangan penduduk pertengahan umur dan warga tua.
Terdapat banyak sebab kenapa pesakit diabetis mudah mendapat penyakit jantung. Yang paling utama ialah ketinggian paras gula dalam darah.
Kebanyakan pesakit diabetis juga mengalami risiko penyakit jantung yang lain seperti tekanan darah tinggi, kolesterol yang tinggi serta berat badan yang berlebihan.
Secara kasar seseorang pesakit diabetis mempunyai tiga kali ganda risiko untuk mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang sihat. Jika pesakit diabetis mendapat penyakit jantung, risiko untuk berdepan dengan komplikasi serta meninggal dunia akibat penyakit jantung juga adalah dua kali ganda lebih tinggi.
Berdasarkan satu kajian terperinci, dua pertiga daripada pesakit diabetis akan meninggal dunia akibat penyakit jantung. Ini merupakan satu jumlah yang sangat tinggi berbanding dengan kelompok penyakit yang lain.

PARAS gula yang tinggi merosakkan fungsi saluran darah dan jantung.
Mengapa penyakit jantung amat bahaya kepada pesakit diabetis?
*Kajian perubatan mendapati penyakit jantung yang dihadapi oleh pesakit diabetis adalah jauh lebih serius daripada mereka yang sihat.
*Lebih banyak saluran darah di jantung yang tersumbat dan bahagian yang tersumbat juga adalah lebih menular. Selain itu, kandungan kalsium yang tinggi dalam bahagian yang tersumbat ini menyulitkan sebarang usaha untuk membuka kembali bahagian saluran darah yang tersumbat itu.
*Ketinggian paras gula dalam darah pesakit diabetis ini melambatkan proses penyembuhan penyakit jantung koronari. Ia juga merosakkan fungsi saluran darah dalam badan serta fungsi jantung sebagai sebuah pam.
*Di samping itu seseorang yang mengalami diabetis juga mudah mendapat serangan jangkitan kuman yang merumitkan lagi penyembuhan penyakit jantung yang sedia ada.
*Salah satu komplikasi diabetis akibat daripada tahap gula yang tinggi ialah kerosakan urat saraf di dalam badan. Apabila urat saraf seseorang itu rosak akibat diabetis maka isyarat yang membawa rasa sakit itu tidak sampai kepada tubuh badan pesakit tersebut.
Maka seseorang pesakit diabetis yang sedang mengalami serangan jantung koronari akan berterusan dengan kerjanya tanpa menerima sebarang isyarat kesakitan daripada jantung yang sedang sakit itu. Ini bererti seseorang pesakit diabetis boleh mengalami penyakit jantung tanpa menyedarinya.
Pencegahan daripada penyakit jantung
*Amat penting bagi seseorang pesakit diabetis untuk mengawal paras gula dengan segera. Ia perlu diturunkan ke tahap yang boleh mengurangkan risiko sakit jantung dengan menjaga pemakanan, melakukan aktiviti fizikal dan mengambil ubat-ubatan yang disyorkan oleh doktor.
*Selain pengawalan paras gula, risiko-risiko penyakit jantung yang lain seperti kolesterol, tekanan darah serta berat badan yang berlebihan juga perlu dikawal.
*Oleh kerana penyakit jantung yang dialami oleh pesakit diabetis adalah jauh lebih serius maka kawalan darah tinggi dan kolesterol mereka juga adalah lebih ketat.
*Sebarang simptom yang timbul apabila pesakit diabetis melakukan aktiviti fizikal seperti menaiki tangga dan mengangkat barang berat perlulah diberi perhatian yang serius.
*Simptom-simptom seperti sakit dada, sesak nafas dan terasa amat letih mungkin merupakan tanda-tanda awal penyakit jantung.
Kesimpulan
Diabetis mellitus yang meningkat di negara kita membawa kepada penyakit jantung yang lebih serius dan merupakan punca utama kematian pesakit diabetis. Maka amat penting bagi pesakit diabetis untuk mengawal tahap kandungan gula, kolesterol dan tekanan darah agar mereka dijauhi dari penyakit jantung yang serius ini.
No comments:
Post a Comment