Seminar Hartanah

Bisnes Import Dari China

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-Commerce
Selamat Datang Ke blog TeRsEbUt AL-KiSaH

Followers

Pages

Monday, October 22, 2012

Las Vegas Asia Barat



Anda tidak perlu berbelanja besar untuk berparti sehingga larut malam di Beirut, Lebanon.

BEIRUT umpama kota perjudian di Las Vegas.


JIKA Las Vegas di Amerika Syarikat (AS) terkenal sebagai sebuah kota perjudian dunia dengan jolokan The Sin City, di Lebanon pula, gelaran itu dipegang oleh sebuah bandar raya yang penuh dengan sejarah purba dan peperangan iaitu Beirut.
Pantai-pantai bogel, pusat perjudian, kelab-kelab homoseksual serta kelab-kelab kabaret dan kasino bakal memberi satu pengalaman percutian ala Barat kepada pengunjung.
Di Beirut, anda tidak perlu berbelanja besar sehingga AS$1,000 (RM3,382) untuk berparti sehingga larut malam. Dengan bajet yang rendah, anda boleh menikmati pertunjukan bunga api yang menjadi salah satu hiburan lewat malam di bandar raya itu.
Lebanon adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian sejarah purba yang memiliki pengaruh Empayar Rom dan penjajahan Perancis. Negara itu telah melalui banyak ranjau sejarah yang berdarah.
Antaranya Perang Saudara dari tahun 1975 sehingga 1990, rampasan kuasa oleh pihak tentera, pembunuhan terancang berprofil tinggi serta kekalutan politik yang tiada penghujungnya.
Empat tahun lalu, Hotel Riviera yang terletak di kawasan pantai Beirut menjadi saksi kepada satu percubaan pembunuhan terancang terhadap pemimpin pergerakan antikerajaan Syria.
Kawasan itu kini terkenal di kalangan pelancong asing kerana ia merupakan antara kawasan kelab-kelab malam yang setanding dengan kelab-kelab malam di Jalan P.Ramlee, Kuala Lumpur.
"Di Kaherah, kami mempunyai kelab malam, tetapi tiada yang dapat menandingi suasana kelab malam di sini. Ia memang menyeronokkan," kata seorang pengunjung bernama Wafiq semasa ditemu bual sambil menghirup cerut Cuba dan memegang segelas minuman keras.
Sementara itu, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan negara tersebut menunjukkan kira-kira sejuta pelancong datang ke Lebonan pada bulan Julai tahun ini sahaja dan angka itu dijangka meningkat sehingga dua juta pengunjung pada akhir tahun 2009.
Para ekspatriat di Lebanon merupakan kumpulan pelancong terbesar di Beirut, tidak kurang juga pelancong dari negara Arab yang gemar berhibur dalam suasana malam di Beirut.
Satu masa dahulu, ketika Lebanon sering berdepan dengan situasi perang saudara, kejadian rusuhan berdarah oleh penduduk tempatan pada Mei 2008 telah mengorbankan lebih 100 nyawa.
Sami, 30, seorang pelancong dari Jerman yang berkunjung ke Beirut berkata, beliau tidak menyangka percutiannya di situ lebih memenatkan daripada apa yang dijangka.
Beliau yang sedang menyapu losen anticahaya ultra lembayung (UV) ditemui menggambarkan bagaimana dia 'tawar-menawar' dengan salah seorang penjaga kelab untuk memasuki kelab malam yang paling popular, Sky Bar sebelum berehat di kawasan rehat 24 jam untuk menikmati juadah sarapan seawal pukul 3 pagi dan seterusnya berhibur di pantai beberapa jam kemudian.
"Saya hanya tidur selama tiga jam," ujar Sami kepada AFP.

PELANCONG asing berhibur sampai pagi adalah pemandangan biasa di Beirut.


Beliau menambah: "Saya sempat menghirup seteguk kopi sebelum kawan-kawan menarik saya untuk berparti di kawasan pantai. Mereka membuang kopi saya dan menggantikannya dengan segelas minuman keras Vodka.
"Percutian saya di Beirut umpama memerah tenaga untuk berlari sejauh 10 kilometer dalam masa 30 minit."
Sementara itu, teman wanita Sami, Yasmine, 24, berkata, Beirut adalah sebuah bandar raya yang sangat hebat.
"Macam-macam ada di sini. Anda namakan sahaja, semuanya tersedia dengan satu petikan jari sahaja! Ia seperti sebuah kawasan hiburan tanpa henti," katanya.
Di Beirut, harga sebotol minuman keras Champagne adalah di antara AS$200 (RM676) dan kadangkala boleh mencecah sehingga AS$15,000 (RM50,737).
Bagaimanapun, di kelab-kelab malam eksklusif dan mewah seperti Palais Cyrstal, bersempena nama sebuah kelab Palais yang popular di Cannes, Perancis, sebarang harga untuk sebotol Champagne yang dibelanjakan adalah sangat berbaloi.
Walaupun Yasmine dan Sami mewakili mereka yang menggemari kehidupan yang bebas dan suka kepada hiburan tanpa henti, terdapat segelintir pelancong yang melawat Beirut merungut terhadap suasana hiruk-pikuk dan budaya di situ.
"Saya akui memang berbaloi berbelanja wang yang besar untuk berhibur di Beirut, menikmati pemandangan yang indah dan alunan muzik yang mengasyikkan. Tetapi, saya hairan melihat 'kesibukannya'.
"Kami terpaksa membuat tempahan beberapa bulan sebelum sampai ke sini. Ia sesuatu yang amat menghairankan kerana kami pernah mengunjungi tempat tersebut," ujar Rana, 38.
"Kadangkala ia seperti satu perkara yang salah sehinggakan kami digelar orang yang berdosa jika tidak melawat dan berhibur di tempat-tempat eksotik di Beirut," tambahnya yang bekerja sebagai broker saham di Beirut.
Beliau juga sempat menggambarkan kejadian Perang 34 hari antara Hezbollah dan Israel pada tahun 2006.
Menurutnya, ketika itu penganjuran parti-parti masih diteruskan.
"Para penganjur hanya perlu menukar lokasi yang lebih selamat dan kebanyakan mereka berparti di kawasan tanah tinggi yang majoritinya didiami oleh komuniti beragama Kristian seperti Faray dan Brummana," ujarnya.
Rana turut berkata, suasana berparti masih lagi hangat, cuma ia kini lebih selamat daripada ancaman perang.
Walaupun apa pun gelaran yang diberikan kepada Beirut, para penduduknya percaya bahawa badi perang dan kancah politik sudah pun tamat.
Namun begitu bagi Ziad, 25, seorang jurutera yang bekerja di Qatar, 'musim panas' pada tahun ini hanya sementara sahaja.
"Saya berpendapat 'mereka' mahu kita berseronok sepuas-puasnya sebelum episod baru bermula," ujar beliau.
'Mereka' sebenarnya merujuk kepada parti-parti politik yang berlumba untuk memerintah Lebanon. - AFP

No comments:

Dapatkan segera!!!

Preview Video Borong Murah di CHINA!

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-commerce