Seminar Hartanah

Bisnes Import Dari China

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-Commerce
Selamat Datang Ke blog TeRsEbUt AL-KiSaH

Followers

Pages

Thursday, November 8, 2012

Jiwa Islamik dalam tema Hakuna Matata



PEMENTASAN fesyen bersifat universal hasil usaha organisasi dan badan bukan kerajaan tempatan kian berkurangan. Pada awal era tahun 2000, keghairahan pihak-pihak tertentu memartabatkan kerja tangan pereka tempatan ke peringkat antarabangsa, menunjukkan riak positif dalam industri fesyen negara.
Namun, sejak kebelakangan ini, satu per satu acara fesyen tahunan yang gah pada namanya tersungkur dek krisis dalaman atau kewangan. Barisan pereka yang bertungkus-lumus terpaksa akur dengan segelintir penganjur yang membatalkan perancangan beberapa acara fesyen Malaysia berkelas antarabangsa tahun ini.
Mungkin Festival Fesyen Islam (IFF) perlu menjadi contoh terbaik bagi pihak yang bercadang menganjurkan minggu fesyen berprestij.
Usaha dan idea-idea segar yang dihamparkan IFF membuktikan ia sebagai satu acara fesyen yang wajib dihadiri pencinta fesyen tempatan.
Minggu ini, bermula 5 hingga 9 November, IFF sekali lagi mencipta sejarah menerusi penganjuran festival fesyen berteras Islamik untuk kali ke-24. Selepas kejayaan menawan beberapa benua khususnya Eropah dan Asia, IFF kembali memilih Kuala Lumpur sebagai pusat tumpuan sedunia terhadap rekaan-rekaan menawan pereka Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Inspirasi puak Afrika
Bertempat di Hotel JW Marriot, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, majlis pembukaan IFF kali ke-24 yang berlangsung semalam, menyaksikan lima nama besar dalam lubuk seni Asia Tenggara mementaskan kerja-kerja kreatif mereka.
Bertepatan dengan tema, Hakuna Matata - Can You Feel the Love yang bermaksud Usah Bimbang, keseluruhan konsep rekaan perlu berlandaskan inspirasi puak-puak yang menetap di Afrika. Kreativiti barisan pereka diuji menerusi sentuhan Islamik yang menjadi teras utama dalam setiap persalinan mereka.
Membuka tirai pada petang itu adalah hasil kerja pereka yang berasal dari Bali, Indonesia iaitu Paul Ropp. Kesemua 14 pakaian yang dihasilkan diolah berpandukan tema Ethnic Extravaganza. Rona-rona terang seperti merah, hijau dan biru menjadi mainan utama setiap rekaan yang sarat dengan aksesori terutamanya pada bahagian kepala.
Persalinan lelaki dilihat lebih menjurus kepada pinjaman imej India yang menyarungkan kurta labuh. Serapan jiwa Islamik diserlahkan melalui penambahan songkok mudah lipat yang ditampilkan dalam pelbagai warna menarik.
ELEMEN India dalam rekaan ini dapat dilihat dari segi penggunaan material dan perinciannya.


Pereka muda Indonesia yang semakin mendapat perhatian, Dian Pelangi kemudiannya mencuri tumpuan hadirin dengan 12 persalinan bertemakan Queen of Giza. Gimik pembukaan slot Dian menampilkan seorang permaisuri yang diusung di atas tandu bersama empat hulubalang gagah nyata membangkitkan keterujaan penonton.
“Saya menggunakan fabrik tradisional Indonesia seperti batik, kain tenun dan mengaplikasikan teknik ikat dan celup atau dipanggil jumputan di Indonesia.
“Koleksi yang banyak difokuskan pada teknik ini mencerminkan kemodenan dan gaya baharu untuk rujukan fesyen kelompok muslimah. Bagi memberi elemen Afrika, warna-warna terang dan padu seperti hijau dan merah menjadi pilihan utama,” jelas Dian yang baru berusia 21 tahun.
Mengisi slot seterusnya adalah perhiasan mewah oleh jenama dari Singapura, Jaipore Jewels. Kilauan barang-barang kemas seperti rantai, anting-anting dan gelang menyerlah apabila dipadankan bersama jubah dan turban hitam tanpa sebarang corak atau cetakan.
Koleksi rekaan Ritu Aurora yang mengemudi Jaipore tersebut mendapat sentuhan Afrika-India dari segi potongan batu permata dan pilihan warna berbeza.
Acara diteruskan dengan pementasan lapan persalinan di bawah jenama Aktif Bestari. Memilih tema Mapambo Reincarnation, pakaian renang muslimah tersebut diserikan dengan kardigan bercetak harimau bintang dan aksesori seperti rantai.
“Koleksi pakaian renang kali ini masih mengekalkan kesopanan berpakaian dalam kalangan wanita muslimah. Kali ini, kami mengolah setiap rekaan membentuk tiga helaian pakaian dalam satu persalinan,” jelas Pengarah Urusan Aktif Bestari Sdn. Bhd., Nuraini Mohd. Ariffin, 38, yang hadir pada majlis tersebut.
Kemegahan Tom Abang Saufi
Ternyata, kehebatan Datuk Tom Abang Saufi masih belum mampu digugat siapa pun. Memilih tema Makeda, pereka kelahiran Sarawak itu bijak bermain dengan warna-warna garang seperti jingga dan merah serta menumpukan pada kepelbagaian potongan persalinan.
Dalam kesemua 14 rekaan yang dihasilkan untuk koleksi tersebut, Tom Abang Saufi berjaya mengimbangi hasil kerja beliau agar tidak kelihatan condong terhadap idealisme tertentu. Ini bermaksud, setiap rekaannya memiliki pakaian berkonsep moden, urban, tradisional dan klasik.
Jubah lelaki bermotifkan elemen Afrika mudah membuatkan hadirin terpukau ditambah pula dengan pelilit kepala ringkas. Tidak kurang juga seluar panjang bercetak harimau bintang yang dipadankan bersama baju seakan-akan kaftan labuh, mencipta pesona luar biasa kepada penampilan wanita muslimah.
Secara keseluruhan, IFF kali ini banyak bermain dengan material sutera yang indah dengan warna-warna terang, manik-manik, turban eksotik, gaun meleret dan persalinan yang dipengaruhi etnik-etnik dari Afrika.
Pada majlis pembukaan tersebut, Penaung dan Pengerusi IFF, Datuk Seri Raja Rezza Shah menyatakan pemilihan konsep Afrika yang bertemakan Hakuna Matata tidak hanya difokuskan pada persalinan tradisional Islamik.
“Acara kali ini memberi peluang kepada orang ramai melihat kebijaksanaan pereka yang terlibat menterjemahkan perspektif mereka tentang inspirasi fesyen Afrika Islamik.
“Selama lima hari, kita menjadi platform kepada pereka tempatan dan beberapa negara jiran dalam menampilkan pertunjukan fesyen yang estetik,” ujar beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Shah Rezza.
Kreativiti pereka menghasilkan persalinan berkonsep Afrika Islamik menciptakan hasil kerja yang mempesona.


Turut hadir pada acara pembukaan semalam ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim yang menjadi tetamu kehormat.
Minggu IFF
Minggu fesyen IFF akan melibatkan 14 pertunjukan dengan sembilan daripadanya dikendalikan oleh badan kebajikan atau badan bukan kerajaan bagi mengumpul dana untuk tabung kebajikan masing-masing.
Hasil kutipan juga akan disumbangkan IFF kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Antara pereka tempatan yang terlibat dengan minggu IFF kali ini ialah Zleqha, Hajaba, Syaiful Baharim, Ammara, Salikin Sidek, Datuk Raduzan Radziwill, Rico Rinaldi dan Calvin Thoo.
Pereka Indonesia pula bakal menyaksikan kelibat Milo, Tuty Adib Bilqis, Ghea Panggabean, Nuniek Mawardi dan Malik Moestaram. Singapura pula diwakili oleh Jaipore Jewels dan Mantra.
Menariknya, IFF turut membuka peluang kepada orang awam yang ingin menonton pertunjukan fesyen khas pada 8 November ini pada pukul 10.30 pagi.
Mereka yang berminat dinasihatkan datang awal ke Mayang Sari Ballroom, Hotel JW Marriot ekoran tempat duduk yang terhad.

No comments:

Dapatkan segera!!!

Preview Video Borong Murah di CHINA!

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-commerce