Seminar Hartanah

Bisnes Import Dari China

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-Commerce
Selamat Datang Ke blog TeRsEbUt AL-KiSaH

Followers

Pages

Wednesday, November 21, 2012

Kerja amal finalis Wanita Ikon 2011/2012




DALAM tempoh kurang satu jam, Saaidah bersama para pelajar Kolej Mara Banting berjaya menghabiskan kerja-kerja membersih sebuah rumah di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur.


PERSEKITARAN rumah papan bernombor 12B di Jalan 38, Kampung Cheras Baru itu agak berselerak. Botol dan tin-tin kosong serta timbunan kayu yang tidak digunakan berlonggok di satu tempat sekali gus menyesakkan pandangan mata.
Keadaan rumah usang yang didiami Nazilah Ismail, 52, bersama lapan anaknya itu ternyata menggamit rasa kasihan dalam hati Dr. Saaidah Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik, Kolej Mara Banting.
Sehubungan itu, beliau bersama enam pelajarnya tampil menghulurkan tenaga membersihkan kawasan rumah tersebut di samping menyumbang beberapa barangan keperluan harian untuk keluarga tersebut.
Dalam tempoh kurang satu jam, mereka berjaya menghabiskan kerja-kerja pembersihan dan membuang sampahsarap yang tidak diperlukan.
Itu antara tugasan khas kerja amal yang dilakukan Saaidah merangkap salah seorang daripada lima finalis pencarian Anugerah Wanita Ikon (AWI) 2011/2012 anjuran majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB).
Pupuk sifat prihatin
Wanita berusia 47 tahun itu bagaimanapun mengakui, bantuan yang dihulurkan bukan atas dasar untuk memenangi pertandingan tersebut, sebaliknya beliau mahu memupuk sifat prihatin dan bertanggungjawab dalam kalangan pelajar kolej tersebut.

KIRI: Mumtaz (dua dari kiri) berkunjung ke rumah Norli Mat Nageri yang mempunyai anak cacat di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur.


“Melalui aktiviti sebegini, para pelajar secara tidak langsung terdidik untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja amal yang membolehkan mereka membantu golongan yang memerlukan.
“Tambahan pula, setiap minggu para pelajar akan melaksanakan kerja-kerja kebajikan selama tiga jam dan ini termasuk dalam penilaian kursus mereka,” ujar Saaidah sambil memberitahu, anak didiknya berpengalaman menjalankan melakukan kerja amal sehingga ke Kemboja dan Vietnam.
Ditanya tentang peluang untuk merangkul gelaran AWI 2011/2012, Saaidah nyata optimis untuk bergelar juara.
“Saya percaya setiap calon mempunyai kehebatan dan kelebihan masing-masing. Tetapi, saya juga yakin dengan kebolehan diri. Apa yang penting, jika berjaya meraih gelaran Wanita Ikon, ia membolehkan saya menyuarakan pelbagai isu berkaitan wanita untuk ditangani pada masa hadapan.
“Gelaran tersebut seolah-olah memberi ruang untuk kami selaku kaum wanita bangkit dalam memperjuangkan nasib golongan hawa,” tegasnya penuh semangat.
Sementara itu, Nazilah melahirkan rasa syukur di atas bantuan yang dihulurkan Saaidah dan kakitangan majalah Wanita.
“Alhamdulillah, dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga. Terima kasih diucapkan kepada pihak yang membantu. Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka,” ujar Nazilah yang bekerja sebagai operator pengeluaran dengan gaji harian sebanyak RM25.
Pada majlis tersebut, Nazilah menerima sumbangan wang tunai bernilai RM1,000 serta produk makanan seperti beras, tepung, minyak, susu dan gula serta peralatan elektrik berupa kipas berdiri kesemuanya bernilai RM1,500.

NARTHEZA PUTERI (duduk kanan) beramah mesra dengan salah seorang penghuni Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas Kampung Meranti, Puchong, Selangor.


Selain Saaidah, empat finalis lain ialah Ketua Unit Kualiti, Kolej Profesional Mara, Melaka, Dr. Mumtaz Begam Abdul Kadir; Pengarah Urusan Nazra Sdn. Bhd., Ratna Nainy; pemilik Firma Guaman Tetuan Adillah A. Nordin, Adillah Ahmad Nordin dan Pengarah Eksekutif Talasco Dagang Sdn. Bhd., Narthreza Puteri Abdullah.
Proses pemilihan
Dalam pada itu, Ketua Unit Majalah Keluarga UKSB merangkap Pengarang Majalah Wanita, Normala Hamzah berkata, tugasan kerja-kerja amal yang diberikan kepada lima finalis berkenaan adalah sebahagian daripada proses pemilihan AWI 2011/2012.
“Berbanding sebelumnya, anugerah tahun ini menyaksikan finalis dikehendaki melakukan kerja-kerja amal yang akan mengambil 30 peratus daripada markah keseluruhan. Ia bertepatan dengan ciri-ciri yang diperlukan untuk bergelar wanita ikon iaitu berpersonaliti menarik, berkeperibadian murni dan aktif dalam kerja kemasyarakatan.
“Matlamat kami hanya satu iaitu untuk melahirkan seorang tokoh yang mampu menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain dalam membantu mereka yang berada dalam kesusahan,” jelas Normala sambil memaklumkan lima finalis tersebut dipilih daripada 35 pencalonan sejak pencarian itu dimulakan.
AWI 2012 diadakan dengan kerjasama strategik bersama Mara serta penaja seperti D’Navechee, Harmony, Alfio Raldo, Habib Jewels, Loreal serta Plus & Plus Travel & Tours.
Malam Gala Anugerah Wanita Ikon akan berlangsung pada 30 November ini di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Pertubuhan wanita, pihak korporat atau individu yang berminat untuk memeriahkan majlis, amat dialu-alukan.
Jualan meja bermula daripada harga RM5,000, RM7,000 dan RM10,000 manakala RM300 untuk individu. Mereka yang berminat untuk membeli meja boleh menghubungi Sekretariat Wanita di talian 03-8926 2999 untuk maklumat lanjut.
Anugerah Wanita Ikon pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007 yang menyaksikan ahli perniagaan Syarikat Megah Padu merangkap usahawan produk kecantikan Kayla Beverly Hills, Datuk Normaziah Sheikh Mohamad dinobatkan sebagai penerima.
Pada tahun 2008 pula, anugerah ini dirangkul oleh pemilik D’Navechee Beauty (M) Sdn. Bhd., Datuk Azlina Che Abdullah.

No comments:

Dapatkan segera!!!

Preview Video Borong Murah di CHINA!

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-commerce