Seminar Hartanah

Bisnes Import Dari China

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-Commerce
Selamat Datang Ke blog TeRsEbUt AL-KiSaH

Followers

Pages

Thursday, November 8, 2012

Kucing Burma pulang ke Myanmar



SEBANYAK 50 ekor kucing baka Burma kini dipelihara oleh Myo Su.


TERKENAL dengan bulu yang berkilat, rupa yang comel, mata yang menggoda dan suka berjemur. Ciri-ciri tersebut dapat dilihat pada kucing Burma yang kurang dikenali masyarakat moden Myanmar hari ini.
Ironinya, kucing-kucing itu merupakan baka asal negara tersebut tetapi ia mengalami kepupusan sekitar abad ke-19 dan 20 dan ditambah pula dengan kehadiran kucing baka lain. Hanya beberapa ekor kucing baka itu dapat dibawa ke Britain ketika pemerintahan kolonial British di Myanmar yang berakhir pada tahun 1948.
Berdasarkan rekod pertubuhan pedigri dunia, Persatuan Kucing Antarabangsa, kebanyakan baka moden datangnya daripada seekor kucing betina bernama Wong Mau. Ia merupakan salah seekor kucing Burma yang dibawa ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1930.
Kucing Burma yang berkongsi karakteristik dengan baka-baka kucing lain di rantau Asia Tenggara seperti kucing Siam dipercayai telah wujud di benua ini sejak ribuan tahun dahulu.
Terdapat kepercayaan bahawa kucing Burma merupakan haiwan peliharaan keluarga diraja dan dijadikan penjaga kuil dan rumah ibadat. Baka itu kemudiannya hilang dari tanah asalnya, Asia Tenggara, sehinggalah kumpulan pencinta haiwan membuat keputusan untuk mengembalikan mereka ke Myanmar.
Idea menghantar semula kucing Burma datangnya dari Persatuan Penyelidikan dan Eksplorasi China (CERS).
Warisan negara
Yin Myo Su yang mengusahakan projek pembiakan kucing Burma di Myanmar telah membina sebuah rumah kucing di pesisir Tasik Inle, di timur negeri Shan. Sasaran projek tersebut bertujuan melindungi dan mengekalkan warisan negara itu.
Wanita itu berharap untuk meningkatkan profil baka tersebut dalam kalangan penduduk Myanmar. Seekor kucing Burma turut diberikan kepada ikon demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi yang dilihat menjadi strategi bernas bagi melonjakkan publisiti terhadap kucing tersebut.
Namun, penerima Anugerah Nobel Keamanan itu dilihat lebih mengutamakan anjing miliknya yang menunjukkan rasa cemburu dengan kehadiran kucing itu. Suu Kyi telah diminta mengembalikan kucing tersebut.
"Kini, kami mengambil alih tugas menjaga kucing beliau di rumah dan sekiranya beliau betul-betul bersedia untuk memelihara kucing ini, beliau boleh datang mengambilnya semula," ujar Myo Su.
Daripada tujuh ekor kucing yang diimport pada tahun 2008 dengan bantuan gedung mewah Harrods di Britain, projek itu kini berkembang kepada 50 ekor kucing. Kesemuanya tinggal di sekitar Inle termasuk sembilan anak kucing dan mula menjadi tarikan pelancong.
Sebanyak 17 ekor yang lain pula telah diberikan kepada pencinta kucing di Shan dan beberapa bandar utama di Yangon.
Suka dimanja
Walaupun mengalami alergi terhadap haiwan itu, Myo Su tidak pernah berhenti memperjuangkan projek pembiakan baka tersebut. Dia turut memberikan kucing Burma yang telah dimandulkan kepada penduduk tempatan yang berminat secara percuma dan mengenakan caj sebanyak 500,000 kyat (RM1,774) kepada pelancong.
"Kucing suka dipeluk sepanjang masa," ujarnya di rumah kucing tersebut, Inthar Heritage House, sambil seekor kucing berwarna coklat menjilat-jilat kaki dan kemudiannya berbaring di kakinya tanda bersedia untuk digeletek.
Kucing berbulu pendek itu mempunyai mata keemasan, biru berkilauan atau putih kekuningan namun perang gelap merupakan warna utama mata baka tersebut.
"Kami amat gembira dengan pembiakan semula kucing tersebut kerana kami mendapat warna-warna yang asli," luah Myo Su yang turut menjalankan operasi Hotel Inle Princess.
Kini, Myo Su memelihara dua ekor kucing di rumah bersama-sama binatang kurungan yang lain sekali gus membentuk zoo mini. Haiwan lain termasuklah itik, babi, kambing, angsa dan monyet perlu dijaga dengan baik kerana ia hadiah pemberian sami.
Pengurus rumah kucing tersebut juga terlibat dengan beberapa projek perlindungan dan berkata dia berharap rumah kucing itu boleh menjadi lebih daripada tempat perlindungan semata-mata.
"Rakyat negara ini pun sukar memiliki rumah sendiri dan saya membina rumah untuk semua kucing ini?
"Tidak mungkin saya mampu menguruskannya sendiri," katanya yang mendapat sokongan kewangan daripada sebuah restoran yang menyajikan hidangan tradisional bagi menampung kos pengurusan bulanan sebanyak AS$800 (RM2,447).
Antara projek lain Myo Su ialah pembinaan pusat penyelidikan dan perlindungan ikan tempatan di Tasik Inle. Namun, kakitangannya bersifat skeptikal terhadap motif pembinaan projek akuatik tersebut.
"Mereka ketawakan saya dan menganggap ikan-ikan itu akan dijadikan sumber makanan kucing," kongsinya lagi. - AFP.

No comments:

Dapatkan segera!!!

Preview Video Borong Murah di CHINA!

I want to Sell Online!!!

Sitegiant E-commerce